comscore
Tumpuan :
Dunia

Turkiye serang pangkalan pejuang Kurdish di Syria, Iraq

FOTO AP

ISTANBUL: Pesawat pejuang Turkiye melancarkan serangan udara ke atas pangkalan kumpulan pejuang Kurdish di kedua-dua utara Syria dan Iraq, hari ini, sekali gus berjaya memusnahkan 89 sasaran, menurut Kementerian Pertahanan Turkiye.

Tindakan itu diambil susulan serangan bom di Istanbul yang meragut enam nyawa, baru-baru ini, dengan menyasarkan pangkalan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan gerakan YPG Kurdish Syria. Sebelum ini, Turkiye dilaporkan mendakwa YPG Kurdish Syria adalah sayap PKK.

Ankara menyalahkan kumpulan pejuang Kurdish atas insiden letupan pada 13 November lalu di Istiklal Avenue, Istanbul. Namun hingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab, manakala PKK dan Tentera Demokratik Syria (SDF) yang diketuai Kurdish menafikan pembabitan mereka dalam kejadian itu.

Kementerian Pertahanan Turkiye dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan itu dilancarkan di Qandil, Asos dan Hakurk di Iraq, serta Kobani, Tal Rifat, Cizire dan Derik di Syria.

Menurutnya, ia berjaya memusnahkan 89 sasaran termasuk terowong dan depoh senjata, selain menumpaskan sejumlah individu.

Sementara itu, jurucakap SDF mendakwa serangan Turkiye berkenaan memusnahkan beberapa infrastruktur, termasuk tempat penyimpanan bijirin dan masing-masing sebuah stesen jana kuasa serta hospital. Ketua pusat media SDF, Farhad Shami, mendakwa bahawa 11 orang awam termasuk seorang wartawan, terkorban.

SDF dalam satu kenyataan pula berikrar akan bertindak balas atas serangan itu. – REUTERS

Loading...
Terkini