ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam keputusan pihak berkuasa Israel untuk merampas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), UAE turut mengutuk tindakan Israel menggantung operasi UNRWA dan membina penempatan di kawasan terbabit, serta menolak semua langkah yang bertujuan mengubah status sejarah dan undang-undang Wilayah Palestin.
Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Reem Bint Ebrahim Al Hashimy berkata, UAE dengan tegas menolak sebarang tindakan merampas dan menyerang ibu pejabat kemanusiaan di Wilayah Palestin yang Diduduki, serta sebarang tindakan yang membahayakan nyawa petugasnya.
Beliau turut memuji usaha UNRWA membantu rakyat Palestin dalam mengatasi situasi kemanusiaan yang mencabar di bawah pendudukan Israel.
Al Hashimy menegaskan pentingnya menyokong semua usaha serantau dan antarabangsa untuk memajukan proses damai di Timur Tengah serta menghentikan tindakan haram yang menghalang penyelesaian dua negara termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Beliau turut menekankan komitmen UAE yang berterusan dalam memperkukuh keamanan, keadilan, dan melindungi hak sah rakyat Palestin.- BERNAMA-WAM
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.