comscore
Tumpuan :
Dunia

UK meterai MoU perdagangan yang keenam dengan AS

Foto: Reuters

LONDON: United Kingdom (UK) siap sedia untuk menandatangani perjanjian perdagangan keenam dengan Washington State di Seattle, Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Industri dan Sekuriti Ekonomi UK Nusrat Ghan, lapor PA Media/dpa.

Negeri yang terletak di pantai barat AS itu menjadi tuan rumah kepada syarikat utama seperti Amazon, Starbucks, Microsoft dan Boeing, dengan sektor aeroangkasa menjadi keutamaan di bawah pakatan itu.

UK kini akan mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan enam negeri AS, menyaksikan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih daripada £2 trilion (US$2.4 trilion), menurut Jabatan Perniagaan dan Perdagangan UK.

Negeri-negeri lain ialah Indiana, Carolina Utara, Carolina Selatan, Oklahoma dan Utah.

Kerajaan juga sedang meneroka usaha untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan Florida, Texas, California, Colorado dan Illinois.

“Pakatan kami dengan Washington adalah kemenangan buat UK, membuka pintu kepada perniagaan kami untuk berdagang dengan lebih terbuka dan membuka peluang baharu dalam sektor utama.

“Perjanjian khusus ini akan memnumpukan kepada industri aeroangkasa melalui pengenalan pelabur, misi perdagangan dan peningkatan akses kepada pasaran perolehan.

“Saya gembira dapat menyertai Boeing dan kumpulan syarikat inovatif UK kami untuk membincangkan cara kerajaan dan industri boleh bekerjasama untuk mewujudkan pekerjaan dan mengembangkan ekonomi,” kata Ghani.

Ghani akan menyertai 35 perniagaan UK yang bertemu dengan pasukan perolehan dan rantaian bekalan Boeing di pameran pembekal firma itu.

Sementara itu, Gabenor Washington Jay Inslee berkata Washington merupakan peneraju dalam aeroangkasa dan penerbangan yang mampan, menarik berbilion-bilion pelaburan baharu di seluruh kawasan bandar dan luar bandar, meningkatkan ekonomi tempatan, sambil mengurangkan pelepasan karbon. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini