comscore
Tumpuan :
Dunia

Umrah sekali sahaja dalam bulan Ramadan

Foto hiasan

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menegaskan para jemaah tidak dibenarkan mengulang menunaikan umrah pada bulan Ramadan dan dibenarkan mengerjakan hanya sekali sahaja.

Memetik laporan Saudi Gazette, langkah ini bagi memberi peluang kepada semua jemaah lain untuk menunaikan umrah pada bulan yang mulia ini dengan mudah dan selesa.

Kementerian itu juga menegaskan keperluan kesemua jemaah mendapatkan permit daripada aplikasi Nusuk untuk menunaikan umrah, selain pentingnya komitmen mereka hadir pada masa ditetapkan.

Tambah kementerian tersebut, tiada ciri khas untuk meminda tarikh umrah, namun jemaah boleh membatalkan temu janji melalui aplikasi Nusuk, sebelum mengeluarkan permit waktu baharu.

Sementara itu, kementerian turut mengesahkan bahawa aplikasi Nusuk dikemas kini secara berkala dan sekiranya jemaah tidak mendapat tarikh tempahan, mereka boleh mencari tarikh lain pada masa akan datang.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi melancarkan aplikasi bersepadu, Nusuk dalam versi bahasa Melayu sepenuhnya pada 3 Mac lalu.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, peluncuran versi bahasa kebangsaan itu bakal memberi kemudahan kepada semua operator umrah untuk merancang pakej dengan kos berpatutan.

Loading...
Terkini