Tumpuan :
Dunia

UNRWA sedia bekerjasama dengan Trump, tangani Isu pelarian Palestin

Foto Hiasan, Ihsan Reuters

NEW YORK: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pentadbiran baharu Amerika Syarikat di bawah Donald Trump yang bakal mengambil alih jawatan Presiden AS pada Januari depan.

Lazzarini berkata bahawa beliau akan berusaha menjalin hubungan dengan Trump demi menyelamatkan UNRWA.

“Adakah saya berhasrat untuk menghubunginya? Jawapan ringkasnya adalah ‘ya’,” kata Lazzarini ketika menjawab soalan pemberita mengenai pendekatannya untuk mengekalkan sokongan terhadap agensi tersebut.

Dengan pentadbiran Trump yang dijangka memberikan sokongan kuat kepada Israel seperti mana dalam penggal pertamanya, Lazzarini mengakui situasi baharu ini mencetuskan peluang baharu.

“Dalam setiap situasi baharu, kita mungkin akan melihat peluang baharu,” katanya sambil menekankan betapa pentingnya peranan UNRWA dalam mencapai penyelesaian jangka panjang untuk isu Palestin, terutama jika dua negara dilihat sebagai jalan penyelesaian yang realistik.

UNRWA menghadapi cabaran berikutan undang-undang Israel terbaharu yang melarang kegiatan agensi tersebut di negara itu, termasuk di wilayah-wilayah yang diduduki.

Undang-undang tersebut dijangka berkuatkuasa akhir Januari depan, hanya beberapa hari selepas Trump mengambil alih jawatan.

Di bawah pentadbiran Joe Biden, AS menyifatkan peranan UNRWA di Gaza sebagai ‘tidak ternilai’, namun peralihan ke pentadbiran Trump mungkin membawa perubahan dasar yang signifikan.

Israel sebelum ini telah menuduh beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan konflik di Gaza.

Lazzarini menambah, UNRWA tetap komited memainkan peranannya dalam mendukung usaha ke arah perdamaian di rantau tersebut.

Dengan penekanan kepada penyelesaian dua negara, beliau berharap kehadiran UNRWA akan dapat membantu mencapai normalisasi hubungan yang kekal di rantau Asia Barat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini