NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan bersidang dalam satu mesyuarat tergempar pada Rabu bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan buat kali kedua dalam tempoh seminggu, lapor Agensi Anadolu.
Misi Tetap Slovenia memaklumkan bahawa sesi itu akan diadakan pada 6 petang waktu Timur (2200GMT).
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres akan menyampaikan ucapan perasmian.
Mesyuarat itu dicadangkan oleh Perancis.
UNSC sebelum ini mengadakan sesi tergempar pada 20 Sept untuk membincangkan serangan menggunakan peranti komunikasi dan radio yang dikatakan berpunca daripada Israel.
Tentera Israel melancarkan serangan udara bertubi-tubi di Lubnan sejak awal Isnin, dengan mendakwa menyasarkan kumpulan Hizbullah di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara kedua-dua pihak.
Lebih 560 mangsa, termasuk 95 wanita dan 50 kanak-kanak terbunuh manakala 1,835 cedera, menurut Menteri Kesihatan Firas Abiad. – BERNAMA-ANADOLU
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.