Tumpuan :
Dunia

Usaha mencari mayat susulan kemalangan udara di Washington diteruskan

Pasukan mencari dan menyelamat bertugas berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington susulan pertembungan pesawat American Eagle penerbangan 5342 dengan helikopter Black Hawk yang terhempas di Sungai Potomac, Arlington, Virginia, Amerika Syarikat (AS). – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Pasukan penyelamat berjaya menemui 41 mangsa yang maut dalam Sungai Potomac yang beku, manakala baki 26 mangsa lagi masih dicari dalam operasi besar-besaran.

Ketua Bomba Washington, John Donnelly berkata, pasukan penyelamnya sedang berusaha mencari di kawasan yang disasarkan dan aset Pengawal Pantai tambahan akan tiba petang ini.

“Kru penyelamat sedang menilai skop kerja yang akan diperlukan untuk mengangkat pesawat dari dalam air.

“Kami menjangkakan operasi itu akan bermula selewat-lewatnya petang esok,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Nasional Reagan, di luar ibu negara Amerika Syarikat (AS).

Katanya, mengeluarkan badan pesawat dari sungai kemungkinan besar akan mendedahkan mayat-mayat yang tinggal.

“Jika tidak, kami akan teruskan pencarian,” katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa sudah menemui kotak hitam helikopter selepas mendapatkan perakam suara kokpit dan data penerbangan dari pesawat Bombardier yang dikendalikan oleh anak syarikat American Airlines.

Memandangkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengehadkan penerbangan helikopter untuk mengurangkan risiko pertembungan lain, pencarian fizikal yang mengerikan berjalan selari dengan analisis teknikal yang rumit mengenai apa kesilapan yang berlaku.

Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dijangka menyusun laporan awal dalam tempoh 30 hari, walaupun siasatan penuh boleh mengambil masa setahun.

Ahli NTSB, Todd Inman berkata, siasatan itu juga akan cuba mengelakkan segala tekanan politik untuk membuat kesimpulan mengenai kemalangan itu sebelum siasatan selesai.

Pelanggaran itu adalah yang terbesar di AS sejak 2009 dan terburuk selepas nahas jet American Airlines di Belle Harbor, New York pada 2001, mengorbankan 260 mangsa.

Antara yang berada dalam pesawat malang pada Rabu lalu itu termasuk beberapa peluncur ais dan jurulatih dari ASt, serta pasangan Russia, Evgenia Shishkova dan Vadim Naumov, yang memenangi gelaran dunia bagi kategori pasangan pada tahun 1994.

Dua warga China dan seorang warga Filipina turut menjadi mangsa, menurut sumber rasmi dari negara terbabit.

Naib Presiden dan pengurus Lapangan Terbang Nasional Reagan, Terry Liercke, memaklumkan hab itu kini beroperasi pada kapasiti terhad, dengan dua daripada tiga landasan ditutup dan 100 penerbangan dibatalkan pada Jumaat. –
AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini