comscore
Tumpuan :
Dunia

Usaha pengantaraan UAE berjaya dengan pertukaran 180 tawanan antara Rusia-Ukraine

Foto: Reuters

ABU DHABI: Kementerian Luar Negeri Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kejayaan usaha pengantaraannya berhubung pertukaran tawanan perang antara Rusia dan Ukraine yang menyaksikan pembebasan 180 tawanan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Kementerian menegaskan bahawa kejayaan pengantaraan baharu itu, yang merupakan yang kelima sejak awal tahun ini, adalah hasil UAE memanfaatkan hubungan dan kerjasama khasnya dengan kedua-dua pihak, termasuk sebagai pengantara yang dipercayai.

Kementerian berkenaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Rusia dan Ukraine atas kerjasama mereka untuk menjayakan proses pertukaran itu.

Ia juga mengesahkan komitmen UAE untuk meneruskan usaha yang bertujuan mencari penyelesaian damai kepada konflik itu, sambil menekankan kepentingan berdialog, mengurangkan ketegangan dan diplomasi sebagai satu-satunya cara untuk menyelesaikan konflik dan mengurangkan kesan kemanusiaan akibat krisis.

Usaha pengantaraan UAE sejak awal tahun ini berjaya menyelesaikan empat pertukaran tawanan perang antara Rusia dan Ukraine, selain pertukaran dua tahanan antara Amerika Syarikat dan Rusia pada Disember 2022.  — BERNAMA-WAM

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini