Tumpuan :
Dunia

Vietnam lulus projek kereta api berkelajuan tinggi AS$67 bilion

Foto hiasan

HANOI: Badan perundangan tertinggi Vietnam pada Sabtu meluluskan projek kereta api berkelajuan tinggi merentasi negara dengan kos dianggarkan berjumlah AS$67 bilion, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Projek ini akan membolehkan penumpang melakukan perjalanan dari Hanoi ke Ho Chi Minh City, dengan jarak antara kedua-dua bandar itu melebihi 1,500 kilometer.

Menurut Kementerian Pengangkutan, perjalanan menerusi kereta api baharu yang mampu mencapai kelajuan sehingga 350 kilometer sejam itu akan mengambil masa kira-kira lima jam.

Ia menjadikan perkhidmatan pengangkutan itu alternatif yang kompetitif berbanding penerbangan domestik, bukan sahaja dari segi masa tetapi juga kos.

Menurut rancangan, projek berkelajuan tinggi utara-selatan ini akan melalui 20 bandar dan wilayah.

Pembinaan dijangka bermula pada 2027 dengan fasa pertama melibatkan laluan sepanjang 400 kilometer antara Ho Chi Minh City dan bandar pesisir Nha Trang yang popular dalam kalangan pelancong.

Kereta api ini dijangka mula beroperasi pada 2035.

Menurut kerajaan, sebahagian besar dana untuk projek ini akan diperoleh daripada pembiayaan negara atau pinjaman domestik.

Vietnam turut merancang untuk memulakan kerja-kerja pembinaan laluan rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan Hanoi dengan China menjelang 2030. – BERNAMA-dpa

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini