PARIS: Duta Vietnam ke Perancis Dinh Toan Thang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa ASEAN di Paris (ACP) di kedutaannya pada 6 Sept dan secara rasmi menyerahkan jawatan pengerusi ACP kepada kuasa usaha Kedutaan Brunei.
Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan bahawa pada majlis itu, Thang membentangkan ringkasan tempoh kepengerusian Vietnam dari Mei hingga Ogos 2024.
Bertemakan “ASEAN: Promoting Connectivity and Resilience,” Vietnam memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama antara ASEAN dan Perancis.
Aktiviti utama termasuk dialog peringkat tinggi dengan Kementerian Luar Negeri Perancis mengenai Strategi Indo-Pasifik Perancis serta perbincangan mengenai peluang dan cabaran serantau.
Antara acara penting ialah upacara menaikkan bendera ASEAN yang kali pertama diadakan di Perancis, bersempena ulang tahun ASEAN ke-57.
Acara ini dihadiri oleh duta besar dan diplomat serta atlet ASEAN yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain itu, kedutaan Vietnam mengadakan aktiviti untuk mempromosikan tanah air, rakyat, sejarah, budaya dan masakan negara-negara ASEAN, membantu rakyat Perancis lebih memahami ASEAN dan memperkukuhkan kerjasama antara blok itu dengan Perancis.
Duta itu turut menekankan peranan penting ASEAN dalam mengekalkan keamanan dan kerjasama serantau serta berterima kasih kepada negara-negara anggota atas sokongan mereka sepanjang tempoh kepengerusian Vietnam.
Vietnam turut menganggap ia sebagai peluang yang tidak ternilai bagi mengukuhkan hubungan ASEAN-Perancis dan mempromosikan perpaduan serantau.
Duta-duta ASEAN memuji usaha Vietnam semasa menjadi pengerusi, mengesahkan bahawa Vietnam adalah ahli yang proaktif, aktif dan bertanggungjawab yang sentiasa berusaha sedaya upaya untuk kepentingan ASEAN. – BERNAMA-VNA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.