comscore
Tumpuan :
Dunia

Wanita ditahan sorok ular, lipan dalam pakaian dalam

Salah satu ular yang dirampas daripada wanita itu adalah ular Lampropeltis, yang mempunyai racun sangat toksik dan boleh membunuh manusia. – Foto: Agensi

HONG KONG: Seorang pemilik kedai haiwan peliharaan di China, ditangkap selepas cuba menyeludup haiwan itu dengan menyembunyikannya di dalam pakaian dalamnya baru-baru ini, lapor Mirror UK.

Chen, 32, ditemui bersama 15 ular, empat lipan gergasi dan seekor cicak, ketika dia dalam perjalanan dari Hong Kong ke China.

Chen didakwa memasukkan reptilia yang sebahagiannya adalah haiwan beracun itu ke dalam coli dan poket pada pakaian, dengan harapan dapat memindahkannya ke premisnya di China.

Bagaimanapun, dia ditahan pegawai kastam selepas melihat wanita itu gementar dan memakai pakaian luar biasa besar.

Hasil pemeriksaan badan mendapati Chen menyembunyikan sembilan ular, enam ular hognose, empat lipan gergasi Peru, dan cicak genus Anolis, yang semuanya adalah haiwan eksotik.

Menurut Jabatan Kastam, haiwan berkenaan dirampas dan kemudian diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Chen mengaku merancang mahu menjual haiwan itu sebaik tiba di Foshan, China dan mengakui berjaya melakukan perkara sama pada masa lalu hingga memperoleh banyak wang.

Memandangkan haiwan itu sukar ditemui di pasaran China, dia dapat menjual hidupan itu pada harga yang tinggi.

Ramai pelanggan yang ingin mendapatkan haiwan berkenaan untuk dijadikan haiwan peliharaan atau menggunakannya untuk perubatan tradisional.

Salah satu ular dirampas daripada Chen adalah ular Lampropeltis, yang mempunyai racun sangat toksik dan boleh membunuh manusia.

Lipan Peru, Scolopendra gigantea, pula boleh membesar sehingga 11 inci panjang dan mempunyai racun yang juga boleh membawa maut.

Mengikut undang-undang China, haiwan yang dibawa masuk ke dalam dan ke luar negara mesti dikuarantin dan diperiksa oleh pihak berkuasa terlebih dahulu untuk mencegah spesies asing invasif serta melindungi keselamatan ekologi.

Sementara itu, Jabatan Kastam tidak menyatakan apakah implikasi undang-undang yang akan dihadapi Chen. – AGENSI

Loading...
Terkini