
SINGAPURA: Cubaan lelaki warga Malaysia menyeludup 13 haiwan peliharaan ke Singapura, dengan niat mahu melunaskan hutang, membawa padah apabila dia ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Wong Cai Long, 25, dijatuhi hukuman penjara 40 minggu oleh mahkamah selepas dia mengaku bersalah atas 10 pertuduhan.
Lelaki terbabit yang bekerja sebagai tukang kayu, cuba menyeludup 10 anak anjing dan 3 anak kucing itu dengan memasukkannya ke dalam ruang yang diubahsuai di bawah tempat duduk penumpang belakang, di dalam kenderaannya.
Namun, salah seekor anak kucing itu ditemui mati dalam beg nilon manakala lima ekor anak anjing terbabit maut dua minggu kemudian.
Punca kematian dikaitkan dengan radang paru-paru bakteria, yang akan menyebabkan masalah pernafasan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Cai Long, berdepan lima pertuduhan kerana mengimport haiwan tanpa lesen.
Baki lima pertuduhan membabitkan kegagalan mengambil langkah munasabah untuk memastikan haiwan itu tidak dikurung dan dipindahkan dengan cara yang betul.
Dalam prosiding mahkamah, pihak pendakwa Lembaga Taman Negara, Shafiuddin Ong, berkata sampel yang diambil di pusat kuarantin mendedahkan bahawa semua 13 haiwan diuji positif virus berjangkit yang disebarkan melalui sentuhan najis dan mulut.
“Lima haiwan itu dibawa dalam ruang yang sempit, dan apabila diletakkan bersama haiwan lain dalam keadaan terkurung, ia turut menimbulkan risiko kecederaan,” katanya.
Menurut Shafiuddin, Cai Long bersetuju untuk menyeludup semua haiwan peliharaan itu ke Singapura untuk membayar hutang.
Beliau berkata, Cai Long, yang tiada pekerjaan secara tetap dan tidak mempunyai pendapatan stabil, meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen di negara ini, pada April lalu.
Katanya, Cai Long menanggung hutang sebanyak SGD$2,000 (RM7,000) dan apabila dia tidak dapat membayar, lelaki itu diarahkan oleh pihak pemberi pinjaman wang untuk menyeludup haiwan ke Singapura. Dia dibayar sebanyak SGD$40 (RM189) untuk setiap haiwan yang berjaya dibawa masuk.
“Wong diberitahu upah yang diterima itu akan digunakan untuk membayar hutang tertunggaknya. Dia bersetuju dengan syarat terbabit dan mula menyeludup haiwan peliharaan ke Singapura sejak 5 Ogos lalu.
“Wong mendakwa dia berjaya menyeludup sejumlah 12 haiwan ke Singapura sebanyak dua kali sebelum ditahan,” katanya. – AGENSI