comscore
Tumpuan :
Dunia

Warisi harta peninggalan nenek RM127.4 juta, wanita mahu agihkannya  

VIENNA: Pewaris sebuah syarikat farmaseutikal Austria-Jerman, Marlene Engelhorn mahu mengagihkan harta yang diwarisi daripada neneknya.

Memetik Portal BBC, Engelhorn, 31, mahu 50 warga Austria menentukan cara harta bernilai 25 juta euro (kira-kira RM127.4 juta) yang diwarisinya itu, diagihkan.

“Saya sudah mewarisi kekayaan dan kuasa, tanpa melakukan apa-apa untuk itu.

“Negara tidak mahu (mengenakan) cukai ke atasnya,” katanya.

Austria memansuhkan cukai harta pusaka pada 2008, salah satu daripada segelintir negara Eropah yang tidak mengenakan cukai harta pusaka dan Engelhorn percaya, itu tidak adil.

Engelhorn adalah pewaris kepada Friedrich Engelhorn iaitu pengasas syarikat kimia dan farmaseutikal Jerman, BASF.

Beliau mewarisi kekayaan apabila neneknya, Traudl Engelhorn-Vechiatto, meninggal dunia pada September 2022.

Kekayaan Traudl Engelhorn-Vechiatto dianggarkan oleh majalah Forbes pada AS$4.2 bilion (kira-kira RM19.5 bilion).

Sebelum neneknya itu meninggal dunia, Engelhorn sudah mengisytiharkan bahawa beliau mahu mengagihkan kira-kira 90 peratus daripada harta yang diwarisinya.

Pada Rabu lalu, 10,000 jemputan menerusi surat secara rawak yang menyasarkan warga Austria untuk terbabit dalam platform bagi memikirkan cara mengagihkan harta berkenaan.

Mereka yang ingin mengambil bahagian dalam inisiatif dikenali sebagai Good Council for Redistribution itu boleh mendaftar secara dalam talian atau melalui telefon.

Daripada sampel awal 10,000 warga Austria yang berumur lebih daripada 16 tahun itu, 50 orang bertuah akan dipilih untuk menggalas tugas untuk menentukan pengagihan harta berkenaan.

“Jika ahli politik tidak menjalankan tugas mereka dan mengagihkan (harta) semula, maka saya perlu mengagihkan semula kekayaan saya sendiri.

“Ramai orang berjuang untuk memenuhi keperluan hidup dengan pekerjaan sepenuh masa dan membayar cukai ke atas setiap euro yang mereka peroleh daripada kerja.

“Saya melihat ini sebagai kegagalan politik, dan jika politik gagal, maka rakyat perlu menanganinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.–Agensi

Loading...
Terkini