comscore
Tumpuan :
Dunia

WHO, Africa CDC lancar pelan bersama bendung Mpox

Foto: Reuters

NAIROBI: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan pelan bersama meningkatkan tindak balas terhadap wabak Mpox yang kian berleluasa ketika ini.

Agensi Anadolu melaporkan, inisiatif itu yang diumumkan di Kinshasa, Republik Demokratik Congo memberi tumpuan kepada peningkatan pemantauan, diagnostik makmal dan usaha vaksinasi untuk membendung penyebaran penyakit.

Pelan berkenaan menekankan kerjasama antara negara-negara Afrika bagi memastikan semua negara dilengkapi persediaan secukupnya bagi menangani kemungkinan wabak.

Ketua Pengarah Africa CDC, Jean Kaseya ketika pelancaran menyatakan rasa bangga dengan inisiatif itu, yang disifatkan menyatukan semua pihak berkepentingan dalam pendekatan yang diselaraskan untuk menangani wabak Mpox di seluruh Afrika.

Ujarnya, strategi bersatu ini memastikan semua rakan kongsi sejajar dengan objektif yang sama, mengelakkan pertindihan dan memaksimumkan impak.

Pelan Kesediaan dan Tindak Balas Strategik Mpox, dengan belanjawan AS$600 juta (RM2.6 bilion) fokus kepada tindak balas dan kesiapsiagaan di 29 negara anggota.

Khamis lalu, Congo menerima penghantaran pertama vaksin Mpox untuk membantu membendung penyebaran virus itu.

WHO mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global pada 14 Ogos lalu, manakala Africa CDC mengisytiharkannya sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Keselamatan Benua (PHECS) sehari sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini