GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin mengumumkan bahawa rundingan untuk perjanjian pandemik global akan berterusan sehingga 2025 dengan sasaran untuk dimuktamadkan pada Mei, lapor Agensi Anadolu.
“Negara anggota bersetuju bahawa kita perlu memuktamadkan perjanjian ini secepat mungkin dan melanjutkan rundingan hingga 2025, dengan sasaran untuk memuktamadkan perjanjian itu mengikut jadual Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) akan datang pada Mei 2025,” kata Anne-Claire Amprou, pengerusi bersama Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) WHO, dalam satu taklimat media.
Amprou menekankan bahawa dengan komitmen politik yang kukuh daripada negara anggota, rundingan “sedang berjalan ke arah yang diharapkan”.
Pengerusi bersama, Precious Matsoso berkata bahawa perjanjian global sebelum ini mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan, tetapi menambah:
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk melakukan yang lebih baik dan lebih bersedia bagi pandemik akan datang. Kita semua menyedari keperluan ini.
“Dunia boleh lebih bersedia menghadapi ancaman hari ini dan pada masa hadapan. Saya yakin kita akan mencapai matlamat itu,” kata Matsoso, mengimbas kembali pandemik COVID-19 yang melanda pada 2020 dan meragut sekitar 7 juta nyawa.
INB, yang ditubuhkan pada 2021 oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia dengan keanggotaan 194 negara, diberi mandat untuk merangka dan merundingkan konvensyen atau instrumen antarabangsa di bawah Perlembagaan WHO bagi memperkukuh pencegahan, kesiapsiagaan, dan tindak balas terhadap pandemik.
Mesyuarat ke-12 INB sedang berlangsung secara hibrid sehingga Jumaat ini. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.