comscore
Tumpuan :
Dunia

WHO gesa China beri lebih banyak data COVID-19

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menggesa China supaya menyediakan lebih banyak data mengenai situasi COVID-19 yang dihadapi negara itu, selepas Beijing melaporkan hampir 60,000 kematian berkaitan penyakit itu di negara itu dalam tempoh sebulan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat permintaan itu dalam perbualan dengan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Ma Xiaowei, menurut kenyataan WHO.

Menurut kenyataan itu lagi, Tedros juga mengulangi kepentingan kerjasama yang lebih mendalam dan ketelusan China.

Kerajaan China sebelum ini dituduh secara meluas kurang melaporkan jumlah kematian coronavirus sejak melonggarkan dasar sifar-COVID-19 negaranya.

Hanya beberapa puluh kematian direkodkan secara rasmi pada Disember sebelum pengumuman terbaharunya semalam, walaupun terdapat bukti kehadiran ramai orang yang hadir upacara pengebumian dan situasi hospital yang menerima jumlah pesakit melebihi kebiasaan.

Bagaimanapun semalam, seorang pegawai Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), berkata China merekodkan 59,938 kematian berkaitan COVID-19 di antara tempoh 8 Disember hingga 12 Januari lalu.

Angka itu hanya merujuk kepada kematian di kemudahan perubatan, dengan jumlah keseluruhan mungkin lebih tinggi.

PBB dalam kenyataannya pula mengatakan, pihaknya akan ‘menganalisis maklumat itu yang meliputi data dari awal Disember 2022 hingga 12 Januari 2023 bagi membolehkan pemahaman yang lebih baik mengenai situasi epidemiologi dan kesan gelombang COVID-19 di China.

“WHO meminta maklumat terperinci seperti ini terus dikongsi dengan kami dan orang ramai.

“WHO mencatatkan usaha pihak berkuasa China untuk meningkatkan penjagaan klinikal untuk penduduknya di semua peringkat, termasuk dalam penjagaan kritikal,” kata kenyataan itu. – AFP

Loading...
Terkini