
NILAI: Bakar 1,000 lemang selama 50 jam tanpa henti untuk diagihkan secara percuma kepada pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai, di sini.
Itu yang dilakukan kumpulan anak muda daripada Pertubuhan Skuad Pantas Nilai (Pantas) sebagai salah usaha untuk berkongsi rezeki dan menyemarakkan lagi Ramadan serta ketibaan Syawal.
Timbalan Pengerusi Pantas, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi, 35, berkata kerja dilakukan secara bergotong-royong dan bermula sejak malam Khamis lalu dengan membersihkan buluh dan mencari daun pisang.

“Namun kami hadapi sedikit kesukaran apabila tidak dibenarkan membakar lemang menggunakan kayu api memandangkan lokasi di tengah bandar di kawasan bazar Ramadan.”
Katanya, sebagai jalan penyelesaian, mereka kemudian menggunakan tong yang dipinjam daripada rakan.
Kaedah itu lebih mudah apabila setiap tong boleh memuatkan 25 ke 30 lemang dalam satu masa dan masak dalam tempoh dua jam.

Muhammad Jailani berkata Program Ihya Ramadan itu turut mendapat kerjasama agensi kerajaan dan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar.
Antara yang terlibat termasuk kakitangan SW Corp, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan beberapa jabatan lain.
Keseluruhan sebanyak 500kg (kilogram) beras pulut dan 150kg santan digunakan.
Ini kerana mereka turut memasak rendang ayam dengan menggunakan 100 ekor ayam.
Hasilnya sebanyak 3,000 bekas yang diisi lemang dan rendang diagihkan kepada pengunjung dan peniaga.
Muhammad Jailani berharap melalui program sebegini dapat menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk turut menyantuni masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.