comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Basikal klasik banjiri Rembau

Antara peserta Kayuhan Basikal Klasik Rembau yang bertemakan retro 70-an dan 80-an di Kampung Chengkau, Rembau, hari ini. – FOTO: NSTP

REMBAU: 150 individu dari seluruh negara termasuk Singapura  yang berpakaian bertemakan 70-an dan 80-an memeriahkan suasana apabila mengayuh basikal klasik sejauh lapan kilometer di sekitar bandar ini, penganjuran kali keempat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lada.

Kayuhan yang bermula di Masjid Jamek Kariah Tanah Datar, Kampung Chengkau, di sini, jam 8 pagi itu turut menyelusuri beberapa kawasan kampung dan hentian yang mengembalikan nostalgia era berkenaan.

Peserta dari Putrajaya, Nik Norhisham Nik Him, 39, berkata, dia bertolak jam 4.30 pagi demi menyertai program Kayuhan Basikal Klasik Rembau kali keempat anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lada.

“Saya memang peminat basikal klasik. Apabila dimaklumkan ada kayuhan basikal klasik diadakan dengan tema retro, saya mula melakukan persiapan sejak seminggu lalu bagi memastikan saya mengikut tema.

“Kayuhan seperti ini sememangnya memberi kepuasan kepada peminat atau pengumpul basikal klasik kerana ini masanya mereka mahu menonjolkan basikal masing-masing,” katanya ketika ditemui.

Pelbagai ragam dapat dilihat pada kayuhan yang disertai peserta dari hampir semua negeri di semenanjung Malaysia, termasuk dari negara jiran Singapura.

Saripah Kadaya, 59, daripada Kelab Basikal Klasik Kota Tinggi berkata, dia sanggup membeli pakaian baharu yang bersesuaian dengan tema bagi menaikkan suasana kayuhan.

“Kami seramai lima orang termasuk suami bertolak dari Kota Tinggi, Johor, jam 4 petang semalam dan bermalam di inap desa yang disediakan penganjur.

“Saya teruja untuk sertai kayuhan ini lebih-lebih lagi penganjurkan menetapkan tema retro 70-an dan 80-an. Saya melakukan persiapan pakaian dengan mencari dan membeli seluar, baju serta skaf yang bersesuian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Lada, Abd Latif Alias berkata, kayuhan sejauh lapan kilometer disertai 150 peserta berusia dari 11 hingga 78 tahun dari seluruh negara dan Singapura.

“Ada beberapa hentian sepanjang kayuhan seperti rumah kedai kayu lama di Pekan Chengkau, kolam air panas semula jadi Chengkau, Makam Undang Rembau Pertama dan rumah tradisional Negeri Sembilan.

“Kayuhan ini dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota, Suhaimi Aini dan beliau berjanji akan berbincang dengan kerajaan supaya kayuhan ini dapat diadakan setiap tahun dan dimasukkan kalendar pelancongan negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini