comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Belajar dengan ibu bapa, dorong murid raih 8A dalam UPKK

Harith Amrullah Almuhaymin (kiri), Muhammad Saif Zakwan Shahrul Zaim dan Nik Ufaira Nik Muhammad Hafiz (kanan) serta seorang rakan mereka antara empat murid Sekolah Rendah Islam yang memperoleh 8A dalam UPKK. Foto NSTP

SEREMBAN: Tiada apa yang lebih membanggakan bagi tiga murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban dan Nilai di sini, apabila masing-masing memperoleh keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023, yang diumumkan hari ini.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Saif Zakwan Shahrul Zaim, Harith Amrullah Almuhaymin dan Nik Ufaira Nik Muhammad Hafiz mengakui berkat mengulang kaji pelajaran dengan ibu bapa mendorong mereka beroleh kejayaan cemerlang itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (tengah) bersama sebahagian murid Sekolah Rendah Islam Seremban dan Nilai yang memperoleh 8A dalam UPKK. Foto NSTP

Menurut Muhammad Saif Zakwan mengulang kaji secara santai pada waktu malam memudahkan proses pembelajaran.

Tambahnya, pada masa sama dan atas nasihat ibu bapanya, dia juga tidak meninggalkan solat.

“Saya tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang itu walaupun pada awalnya agak ragu-ragu,” katanya ketika ditemui pemberita di sekolah itu di sini, hari ini.

Bagi Harith Amrullah pula, keputusan yang diperolehinya hari ini adalah jauh lebih baik berbanding 4A ketika peperiksaan percubaan.

Katanya, kejayaan itu adalah hadiah buat ibu bapa dan guru yang tidak putus asa mencurahkan ilmu.

“Saya harap kejayaan seperti ini dapat dikekalkan ketika sekolah menengah nanti termasuklah dalam peperiksaan awam lain sekali gus dapat mencapai cita-cita sebagai doktor,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Ufaira pula berkata teguran guru ketika dalam kelas membawa kepada kejayaannya pada hari ini.

Menurutnya, ada ketikanya dia tidak tidak fokus dalam kelas sehingga diberi teguran oleh guru.

“Ustazah pun bimbang kalau ia berterusan. Tanpa teguran beliau, saya tidak mungkin dapat sampai ke tahap ini dan meraih keputusan cemerlang dalam UPKK,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang hadir mengumumkan keputusan di sekolah terbabit berkata seramai 27 pelajar di Sekolah SRI Seremban dan 13 pelajar di Sekolah SRI Seremban cawangan Nilai memperolehi 8A dalam peperiksaan UPKK hari ini.

Beliau berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dalam persediaan terbaik bagi menghadapi peperiksaan.

“Melalui kerjasama ibu bapa itu, dapat mewujudkan ekosistem pendidikan yang baik dan akhirnya dapat melahirkan ramai murid yang cemerlang dan seimbang.”

“Apa yang membanggakan kita ialah pencapaian sekolah persendirian dalam ujian ini juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.”

“Dari apa yang kita lihat, mereka ini mendapat sokongan sistem yang menyeluruh sekali gus mewujudkan suatu suasana persekitaran pendidikan yang baik dan mantap sehingga mampu melahirkan murid yang cemerlang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 28,531 daripada 230,587 calon menduduki UPKK 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi A dalam kesemua lapan mata pelajaran.

Mata pelajaran itu membabitkan Al-Quran, Ulum Syariah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini