comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Guru Bahasa Melayu dinobatkan Unduk Ngadau Kaamatan 2024

Juara Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2024, Hyellene Danius.

PENAMPANG: Guru Bahasa Melayu, Hyellene Danius dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2024 pada kemuncak hari terakhir Sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, sebentar tadi.

Hyellene, 27, mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsi Sin, Tenom, menewaskan 51 peserta lain yang turut mara ke pusingan akhir.

Beliau yang juga anak jati Ranau mewakili daerah Inanam dalam pertandingan itu.

Mahkota kejuaraan dipakaikan oleh juara UNK 2023, Carol Abbey Gail Grimaldi sambil disaksikan isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta beberapa hadiah iringan termasuk biasiswa pendidikan dari Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF).

Hyellene ketika ditemui berkata dia tidak menyangka akan memegang gelaran UNK 2024.

“Kemenangan ini memang di luar jangkaan kerana sasaran asal saya hanya sehingga peringkat 15 peserta terbaik. Namun apabila disebut antara tujuh peserta teratas, saya memang bersyukur dan ketika itu memang menyerahkan segala keputusan kepada takdir.”

“Saya anggap ini rezeki dari Tuhan dan mahu melaksanakan tugas sebaik mungkin sepanjang bergelar UNK 2024,” katanya.

Menurut Hyellene, ini adalah kali ketiga dia menyertai UNK selepas tahun 2016 dan 2022.

Tempat kedua dimenangi oleh Elldiwirna Saimen yang mewakili daerah Kiulu manakala tempat ketiga pula milik wakil dari Keningau, Monicka Majin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini