comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Kongsi kad raya daripada Yang Di-Pertuan Agong pada tetamu beraya

Mohd Faiz Ahmad @ Pau Ken (baju melayu hitam bersongkok) berkongsi menunjukkan kad raya daripada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada saudara mara dan tetamu berhari raya di kediamannya di Segamat. FOTO: NSTP

SEGAMAT: “Patik menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas kiriman kad raya.” Itu luahan keterujaan Mohd. Faiz Ahmad apabila menerima kad raya daripada Baginda, Sultan Ibrahim bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Mohd. Faiz @ Pau Ken, 32, menyifatkan kiriman kad raya itu sebagai kenangan terindah seumur hidup buat diri dan keluarganya kerana berasa ‘terpilih’ daripada jutaan rakyat yang secara peribadi dapat memegang kad raya daripada tulisan tangan Sultan Ibrahim sendiri.

Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menandatangani kad raya. FOTO: NSTP

“Saya menghantar permintaan melalui media sosial pertengahan Ramadan lalu, berharap menerima kad raya daripada Tuanku Sultan Ibrahim apabila mengetahui baginda menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, Sultan Ibrahim dilihat berkenan untuk menandatangani sendiri kad ucapan Aidilfitri.

“Alhamdulillah rupanya baginda Sultan Ibrahim berkenan menghantar kad raya beberapa hari menjelang Syawal.”

“Amat terkejut apabila posmen singgah di rumah dan menyerahkan kad raya daripada Tuanku Sultan Ibrahim,” katanya di kediamannya di Segamat, di sini, hari ini.

Katanya, sejak diangkat sebagai Tengku Mahkota Johor (TMJ) lagi, sikap baginda Sultan Ibrahim memang begitu.

Mudah mesra rakyat.

“Saya menjunjung kasih pada tuanku kerana menghantar kad raya tersebut.”

“Seri Paduka Baginda amat gemar mengutus kad ucapan Aidilfitri secara tradisional kerana ia lebih mengeratkan lagi hubungan antara istana dan rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa.”

“Baginda lebih gemar mengutus kad ucapan Aidilfitri secara tradisional kerana ia bukan sahaja lebih unik dan istimewa, malah sangat klasik menyentuh sanubari,” katanya.

Tambah Mohd. Faiz, dia akan menyimpan kad Aidilfitri tersebut sebaik mungkin sebagai koleksi peribadi.

FOTO: NSTP

“Sayang sungguh saya dengan sultan negeri kelahiran saya, rasa bangga dengan Sultan Ibrahim kebetulan menjadi Yang di-Pertuan Agong.”

“Tradisi kad ucapan hari raya itu sebenarnya mampu mengeratkan hubungan sesama insan walaupun hari ini kita hidup dengan kemajuan teknologi.”

“Malah, bingkisan ucapan melalui telefon dan pesanan ringkas sebenarnya tidak dapat menzahirkan keikhlasan dan kemesraan sesama insan seperti mana yang dapat dialami ketika mengutus kad raya,” jelasnya.

Ujar Mohd. Faiz, selalunya dia hanya mendengar cerita mengenai keramahan mencemar duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah tapi hari ini dia mengalaminya sendiri.

Menurut Mohd. Faiz bagi berkongsi rasa terujanya, dia turut menunjukkan kad raya tersebut kepada saudara mara dan kenalan yang datang berhari raya di kediaman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini