comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Melestarikan hutan paya bakau di Sungai Darau

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kira-kira 500 peserta menyertai program penanaman 2,000 pokok bakau di sepanjang Sungai Darau di sini pagi tadi.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata program itu adalah salah satu usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam menyokong inisiatif Sidang Kemuncak Bumi 1992 di Rio yang melibatkan 178 negara termasuk Malaysia.

Menurut Dr. Sabin dari masa ke masa DBKK juga membantu sektor pelancongan menerusi prasarana dan kemudahan asas kepada penduduk kampung setempat.

“Tanggungjawab DBKK disamping kita memastikan jalan dan juga jambatan yang menghala ke tempat-tempat inap desa tempat pelancongan seperti ini dapat diperbaiki supaya ia memudahkan para pelancong datang ke tempat tersebut disamping kemudahan air dan juga elektrik kita akan pastikan ianya tersedia cukup bekalannya,” katanya.

Program ini adalah kesinambungan daripada penanaman kira-kira 8,000 hingga 10,000 pokok bakau di sungai berkenaan sejak lima tahun lalu.

Untuk program terbaharu ini, peserta terlibat terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Lebih mengujakan apabila sebahagian daripada mereka turut membawa anak-anak bagi turut sama dalam aktiviti ini dan pada masa sama memberikan mereka peluang menikmati keindahan Sungai Darau hasil program penanaman terdahulu.

Sementara itu, Mohd Farris Mohd Fikri salah seorang komuniti yang ditemui mengakui dia bimbang jika tiada usaha seumpama ini dilakukan, sumber pendapatan penduduk akan terjejas.

Pada masa sama katanya kawalan memperkasakannya perlu dilakukan secara berterusan dari akar umbi.

“Sumber komuniti kita ini berdasarkan paya bakau; bila kita kawal tidaklah pokok ini hilang diambil orang luar. Bila hilang, kena tunggu bertahun-tahun untuk pokok itu membesar,” katanya.

Berdasarkan pengamatan, majoriti daripada pokok-pokok yang ditanam awal telah membesar dengan subur dan menjadi pengganti kepada pokok-pokok yang rosak dan ditebang pihak tidak bertanggungjawab.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini