comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

[VIDEO] ‘Nimber’ ikan sungai hasilkan 300 kilogram ikan

Peduduk menunjukkan ikan yang ditangkap pada program ‘Nimber’ Ikan Sungai di Kampung Sungai Ikan di Kuala Nerus, Terengganu hari ini. FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Lebih 300 kilogram ikan sungai ditangkap menerusi program ‘Nimber’ Ikan Sungai di Lubuk Pengkalan Setar, Kampung Sungai Ikan di sini, hari ini.

Program disertai 200 orang penduduk setempat.

Pelbagai jenis ikan sungai ditangkap termasuk ikan sebarau, baung, perah dan haruan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Ikan, Ismail Muda berkata program pertama kali dijalankan itu seiring dengan fenomena El-Nino yang berlaku di Terengganu ketika ini.

FOTO: NSTP

“Banyak lubuk-lubuk ikan yang kekeringan kerana kemarau memberi idea kepada kami untuk menjalankan program berkenaan. Boleh dikatakan setiap penduduk yang menyertai program itu memperolehi lebih dua kilogram ikan seorang,” katanya.

Tambahnya, air sungai yang sedia cetek kerana kemarau dikeringkan lagi melalui proses menimba menggunakan baldi selain pam penyedut air.

“Paling seronok kerana ikan yang terkepung di dalam lubuk yang kering boleh ditangkap hanya menggunakan tangan melalui teknik mengagau,” katanya.

Kaedah lain yang digunakan termasuk dengan menggunakan sauk dan serkap buluh.

Sementara itu penduduk, Ahmad Faizol Mohd Yusof berkata program seperti itu jarang dijalankan oleh itu ia memberi peluang kepada penduduk untuk mengikutinya.

“Kanak-kanak turut menyertai program itu membuatkan program itu lebih meriah. Program seperti itu hanya boleh dijalankan ketika cuaca kemarau oleh itu ia sangat sesuai dianjurkan sekarang,” katanya.

Bagi mendapatkan hasil yang lebih, ada penduduk turut meredah sungai sejauh 1.5 kilometer.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini