comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Penternak lembu korban buntu permintaan susut 70 peratus

Mohd Hasrul Helmi Ariffin (kanan) bersama rakannya Abdul Basir Mamat memantau keadaan lembu peliharaan mereka di Kampung Pengkalan Merbau, di Setiu baru-baru ini.-Foto: NSTP

SETIU: Ramai penternak lembu di daerah ini mengeluh apabila permintaan lembu tempatan untuk ibadah korban tahun ini berkurangan.

Mereka mendakwa keadaan itu semakin ketara dari tahun ke tahun walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan permintaan ke atas lembu tempatan.

Salah seorang penternak, Mohd Hasrul Helmi Ariffin, 36, berkata keadaan semakin membimbangkan susulan pertambahan kemasukan lembu dari negara jiran.

Katanya, kadar permintaan terhadap lembu tempatan pada tahun ini turun mendadak sehingga 70 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Saya sendiri hanya mampu menjual kira-kira 10 ekor berbanding kebiasaannya boleh mencecah sehingga 40 ekor menjelang Aidiladha.”

“Sebelum ini tempahan terpaksa ditutup sekurang-kurangnya sebulan sebelum hari raya tetapi tahun ini walaupun tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Aidiladha permintaan terhadap lembu korban masih kurang,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Merbau, di sini, baru-baru ini.

Katanya, ketika ini permintaan ke atas lembu tempatan amat kurang walaupun hampir setiap daripada penternak di daerah ini menggunakan saluran media sosial bagi memasarkan lembu-lembu mereka.

Seorang lagi penternak, Abdul Basir Mamat, 32, berkata orang ramai lebih memilih untuk membeli lembu dengan harga bajet bawah RM4,000 bagi seekor lembu.

Katanya, kebiasaannya lembu dari negara jiran lebih murah berbanding lembu tempatan yang berharga dalam lingkungan RM5,000 hingga RM8,000.

Katanya, selain terpaksa bersaingan dari segi harga, mereka juga bimbang kemasukan lembu seludup tanpa kawalan ke negara ini akan menularkan penyakit kepada lembu tempatan.

“Namun tidak dapat dinafikan dengan keadaan ekonomi semasa tidak menentu ini turut menjadi faktor pendorong orang ramai lebih memilih harga lebih rendah.”

“Sebagai penternak lembu kami terpaksa menanggung kos makanan jika tidak berjaya menjual lembu mengikut tempoh umur yang sesuai untuk dijadikan korban,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini