comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

PERDA usaha rancakkan sektor pelancongan menerusi ‘Visit My Kampung’

FOTO:NSTP

NIBONG TEBAL: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) sedang mempergiatkan usaha mempromosi program agro-desa ‘Visit My Kampung’ bagi menarik kedatangan pelancong dengan menjadikan inap desa sebagai destinasi pilihan.

Pengerusi PERDA, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata, menerusi program itu, para pelancong akan berpeluang merasai sendiri suasana kampung serta melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti, selain merasai aneka juadah makanan tradisi yang mungkin tidak ada di tempat mereka.

Beliau berkata selain merancakkan kembali sektor pelancongan, program tersebut juga membuka peluang kepada penduduk menjana ekonomi setempat, menerusi pakej dan produk pelancongan yang ditawarkan.

FOTO:NSTP

“Sektor pelancongan domestik sangat menggalakkan selepas pandemik COVID-19 dan Pulau Pinang menjadi salah satu pusat tumpuan pelancongan domestik, justeru, pihak inap desa perlu lebih proaktif dalam mengambil peluang daripada limpahan pelancong, untuk mempromosikan pakej yang disediakan,” katanya.

Katanya, bagi menjayakan program ini, PERDA menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), untuk mendedahkan kepada pelancong luar bahawa Pulau Pinang bukan saja mempunyai bandar tetapi juga kampung.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @PERDA di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Duri di sini hari ini.

Pelancong tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti disediakan pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ PERDA di Kampung Sungai Duri, Nibong Tebal. FOTO: NSTP

Hadir sama Pengurus Besar PERDA, Mohd Asri Baharum dan Pengarah MOTAC Pulau Pinang, Dr Annuar Mohamed.

Shaik Hussein berkata PERDA turut mendapat sokongan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk meneruskan program ini dan lebih bermakna lagi, apabila program ‘Visit My Kampung’ telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan MOTAC tahun ini dan sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan.

Sementara itu, Mohd Asri berkata program ‘Visit My Kampung’ telah dicetuskan pada 2022 yang dimulakan dengan Homestay Pulau Betong, Balik Pulau bertemakan #maimakandurian dan diteruskan di Homestay Kota Aur, Kepala Batas dengan tema #maitengokkampung.

“Visit My Kampung Homestay Sungai Setar @PERDA merupakan program ketiga dengan pelbagai aktiviti dilaksanakan mengikut kelebihan inap desa masing-masing dan Visit My Kampung Homestay Sungai Duri@PERDA pada hari ini adalah yang keempat dilaksanakan di bawah program ‘Visit My Kampung’, bertemakan #karnivalmaiberaya,” katanya.

Mohd Asri berkata setakat ini terdapat 10 buah kampung di seluruh Pulau Pinang yang berdaftar di bawah MOTAC, melaksanakan aktiviti pelancongan inap desa ini dengan kehadiran 106,088 pelancong dicatatkan pada tahun lepas.

FOTO:NSTP

“Pada 3 Mac lepas kita telah laksanakan program Visit My Kampung Homestay Sungai Setar @PERDA dan kesannya, program itu telah menerima limpahan tempahan dengan dua program yang terbesar ialah program anak angkat pelajar universiti seluruh Malaysia, membabitkan 60 orang peserta pada 26 hingga 28 April ini dan Temasya Bendang anjuran Persatuan Homestay Malaysia yang akan diadakan dari 2 hingga 4 Ogos depan, selain syarikat televisyen yang berminat melakukan rakaman program pelancongan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata MOTAC akan membantu PERDA mempromosikan inap desa yang telah didaftarkan di bawah kementerian itu bagi menggalakkan kedatangan pelancong.

Datuk Dr Shaik Hussein Mydin (dua dari kiri) menyampaikan hadiah basikal kepada pemenang cabutan bertuah pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ PERDA di Kampung Sungai Duri, Nibong Tebal. FOTO:NSTP

“Kita ada beberapa peruntukan di bawah Program Pembangunan Industri dan salah satunya adalah inap desa. Justeru, kita amat mengalu-galukan mana-mana agensi untuk berkolaborasi dengan MOTAC bagi mempromosikan pelancongan agro-desa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini