comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Soo Ming memartabat seni budaya di usia emas

Oleh: Fahiz Ariff 

SUBANG JAYA: Ketika masyarakat menganggap seni dan budaya hanya aspek sampingan dalam kehidupan seharian, Koo Soo Ming, 65, melihat dirinya membawa cabaran besar untuk mengubah pemikiran berkenaan.

Ini termasuk memastikan minat kepada seni dan budaya tanah air terus relevan terutama dalam negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Begitulah prinsip yang dipegang wanita ini untuk bergiat aktif memartabatkan seni tarian tradisional Melayu meskipun di usia emas.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya meminati keunikan tradisi Melayu, terutama kebudayaannya seperti tarian dan muzik”, katanya.

Bukan itu sahaja, sedar akan kekurangan pendedahan sewaktu muda, membuatkan Soo Ming terinspirasi untuk memulakan bengkel tarian yang memberi keutamaan kepada asas pembelajaran empat jenis tarian tradisional melayu seperti Asli, Inang, Joget dan Zapin khusus kepada warga emas.

“Waktu muda dulu kurang pendedahan kerana tak banyak ruang dan peluang

“Namun, kini bila sudah ada platform, saya terinspirasi pula untuk berkongsi pengalaman bersama rakan seusia kerana saya percaya setakat ini belum ada bengkel tari untuk golongan warga emas,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Mengulas lanjut, anak jati Wakaf Bharu, Kelantan ini berkata sebelum mengambil keputusan untuk membudayakan tarian tradisional secara serius, dia telah menghadiri kelas tarian formal bimbingan koreografer tempatan, Khairul Azhar Mohtar terlebih dahulu.

Secara tidak langsung, setelah mengikuti pelbagai siri bengkel membuatkan dia lebih yakin untuk berkongsi ilmu asas kepada yang berminat mendalaminya.

“Saya belajar secara formal, baik silibus atau disiplin tarian tradisi Melayu ini menerusi seorang koreografer daripada Nyala Dance Theatre iaitu Khairul Azhar Mohtar

“Banyak kelas yang telah dianjurkannya saya ikuti dan memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari menerusi bengkel mingguan yang dianjurkannya”, ujarnya.

Dalam pada itu, peminat tarian Inang ini berkata sejak dibuka pada April tahun lalu, permintaan peserta untuk menyertai bengkelnya ibarat ‘pisang goreng panas’.

Sehingga kini, Soo Ming berjaya menghimpunkan lebih 200 peminat tarian tradisional melayu sebagai pelajarnya yang terdiri daripada pelbagai jenis latar masyarakat.

Tidak kurang juga terdapat permintaan yang mahukan bengkel diadakan di luar kawasan Lembah Klang.

“Sukar untuk digambarkan keseronokkan berkongsi minat yang sama dengan rakan sebaya

“Senang cerita, amat gembiralah kerana mendapat sambutan yang meriah terutamanya daripada golongan bukan melayu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini