comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Sungai Tembeling ‘kering’ di Ulu Tembeling

Sungai Tembeling ‘kering’  di Ulu Tembeling akibat musim kemarau yang berlaku di kawasan itu. FOTO: NSTP

JERANTUT: Cuaca panas dan kering yang berterusan mengakibatkan air Sungai Tembeling menyusut hingga muncul dataran berpasir yang luas dan panjang di kawasan Ulu Tembeling dekat sini.

Seorang penduduk Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 45, berkata keadaan bermula sejak kemarau pada awal Mac lalu dan menjadi semakin ketara berikutan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.

Katanya, musim kemarau yang melanda di kawasan Ulu Tembeling menyebabkan muncul dataran berpasir di Sungai Tembeling.

FOTO: NSTP

Di kawasan utama, panjangnya sahaja sudah kira-kira 200 meter dan 100 meter lebar.

Ini menyebabkan penduduk boleh bermain bola sepak di atasnya.

Menurut Jamizan, perkara itu bukan lagi sesuatu yang pelik bagi penduduk Kampung Seberang Bantal.

Cuma kepanasan yang tinggi pada tahun ini menyebabkan dataran berpasir yang wujud menjadi lebih luas dan memanjang.

FOTO: NSTP

“Sekiranya keadaan ini berlaku bukan dalam bulan Ramadan, sudah tentu ramai kanak-kanak dan remaja turun bermain bola sepak dan berlarian di atas pasir pada sebelah petang,” katanya di Kampung Bantal dekat sini.

Katanya, secara keseluruhan Sungai Tembeling masih digenangi air dan ada sesetengah tempat agak cetek dan boleh berjalan kaki untuk ke seberang.

Seorang lagi penduduk Kampung Bantal, Mohd Zaimi Ali, 59, turut mengakui kebenaran fenomena terbaharu itu.

“Keadaan cuaca panas dan peralihan monsun menyebabkan cuma terdapat sebahagian alur sungai yang berair yang masih dalam dan boleh dilalui bot penambang,” katanya.

Katanya, sekiranya kemarau terus berlaku dalam tempoh sebulan dua ini, kemungkinan Sungai Tembeling akan kering.

Ia boleh menyebabkan semua aktiviti di sungai ini tergendala termasuk perjalanan bot penambang.

“Ketika cuaca panas tidak ada penduduk yang turun ke dataran sungai ini kerana permukaan pasir yang timbul panas dan sekiranya mahu memijak pasir ini tanpa berkasut atau selipar akan menyakitkan,” katanya.

Kampung Sungai Pesagi, Chenor adalah satu lagi kawasan yang turut mengalami masalah yang sama.

Menurut info di laman web, daerah Jerantut mengalami musim kering sejak 30 Mac lalu dengan kadar purata suhu di antara 24 hingga 34 celsius.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini