comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

‘The Cafe Class’: Guru guna elaun pedalaman hias kelas ala kafe

KUCHING: Usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan bukan sesuatu yang mudah, khususnya di sekolah pedalaman kerana banyak kekangan harus dihadapi kakitangan sekolah terbabit.

Namun dengan hasrat ingin melihat bangunan sekolah kusam menjadi bertukar ceria, seorang guru bukan sahaja sanggup mengorbankan masa dan tenaga, malah rela membelanja wang poket sendiri demi menukar ‘wajah’ sekolahnya di Pulau Bruit dalam daerah Daro, Mukah.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kut itu, Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob, berkata ketika mula ditugaskan di sekolah berkenaan pada 2019, hati beliau terdetik untuk membuat sesuatu yang boleh menceriakan suasana kelas serta persekitaran.

Beliau yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan, berkata sebaik menjejakkan kaki di SK Kut, beliau terpesona melihat persekitaran sekolah itu yang terletak di tebing sungai.

Malah beliau turut tertarik dengan kehidupan seharian penduduk yang mencari rezeki dengan menangkap ketam dan udang.

“Melihat persekitaran yang menarik itu, timbullah idea saya untuk mengubah bangunan sekolah untuk menjadi lebih ceria dan cadangan saya diterima rakan guru yang lain serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Seramai 10 guru dan kakitangan sekolah menyokong dan bersama saya mencantikkan sekolah bermula kerja mengecat hinggalah menghias kawasan sekolah,” katanya ketika dihubungi.

Muhamad Tarmizi berkata, beliau menggunakan wang elaun sekolah pedalaman yang diterimanya untuk membeli cat bagi mencantikkan bahagian dalam kelas manakala wang sumbangan PIBG pula digunakan bagi membeli cat untuk keseluruhan bangunan.

“Jumlah sebenar keseluruhan kos untuk mencantikkan kelas saya tak pasti, tetapi agak banyak jugalah,” katanya.

Selepas persekitaran diubah dengan cat yang menarik, beliau mendapat idea memberi pengalaman baharu kepada 32 murid sekolah berkenaan dengan mewujudkan ‘kafe hispter’ pula.

“Kebanyakan murid tidak pernah merasai pengalaman masuk di kafe kerana mereka yang tinggal di pulau jarang ke pekan, jadi saya wujudkan ‘The Cafe Class’ untuk memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan kepada semua murid sekali gus mendorong mereka untuk rajin ke sekolah.

“Pagi-pagi mereka diamanahkan menjaga kafe dan mengambil kehadiran. Di dalam kafe itu ada juga konsep sedekah yang saya namakan ‘food for you’ yang mana saya meletakkan makanan dan murid yang tidak sempat bersarapan boleh mengambil makanan itu,” katanya.

Menurutnya, kafe kelas itu mula dibina pada Mei tahun lalu dan siap pada April lalu dengan barangan dibeli sedikit demi sedikit termasuk ada yang dibelinya setiap kali balik Semenanjung.

“Saya mengangkut barang-barang untuk mencantikkan sekolah serta barang barang di kafe itu menggunakan motosikal dari pekan Daro ke sekolah yang menempuh perjalanan selama dua jam termasuk menggunakan feri juga,” katanya.

Menurutnya lagi, untuk meningkatkan kehadiran di sekolah kurang murid itu, beliau dan Guru Besar SK Kut, Fariah Hanikal, mendapat idea untuk membuat program ‘satu murid satu kobis’.

“Menerusi program itu, setiap murid menjaga sendiri pokok kobis mereka dari menyiram, membaja hinggalah menjual hasilnya.

“Kami melakukan ini untuk mendidik murid supaya menjaga amanah dan yang paling penting agar mereka seronok ke sekolah kerana jika mereka tidak datang ke sekolah, pokok kobis mereka mungkin akan mati,” katanya,” sambil memaklumkan projek itu dinamakan ‘Kebun Cinta’.

“Alhamdulillah dengan persekitaran yang ceria selain adanya tarikan seperti kafe dan kebun kobis itu, murid menikmati pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.

Kegigihan usaha guru itu bersama warga SK Kut turut dikongsi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi akaun Facebook beliau hari ini sempena Hari Guru yang bakal diraikan 16 Mei setiap tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini