comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Aina Abdul sedia tawan tiga negeri dengan Imaji

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul mengumumkan bakal mengadakan siri konsert jelajah, Aina Abdul Imaji Tour di tiga negeri mulai Disember tahun ini.

Konsert itu merupakan usaha untuk mengukuhkan album sulungnya, Imaji.

Berkongsi kegembiraan itu, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31 terlebih dahulu tidak dapat menahan sebak kerana impian untuk mengadakan konsert jelajah akhirnya tercapai.

Luahnya, meskipun berdepan pelbagai cabaran terutamanya membabitkan penajaan, hal tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengadakan konsert jelajah itu.

Bakal menjelajah Sarawak, Kuala Lumpur Dan Kedah Disember tahun ini, pelantun lagu Sumpah ini menyifatkan acara dirancang kelak, merupakan satu pencapaian penting dalam kariernya sebagai anak seni.

“Saya menganggap Imaji Tour ni sebagai pencapaian peribadi saya kerana hasrat seperti ini memang saya dah lama sangat saya nak buat.

“Idea ni juga tercetus selepas kejayaan penghasilan album sulung saya, dan memasang impian untuk adakan konsert jelajah tanpa mengira lokasi dan saiz venue”, kongsi Aina kepada Buletin TV3 pada sidang media pelancaran siri konsert, Aina Abdul Imaji Tour, semalam.

Juga, dalam konsert itu, pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu 38 ini dijadualkan mendendangkan lagu Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Kamu, Bilang dan banyak lagi.

Menariknya, semua lagu dinyanyikannya kelak akan diberi susunan muzik berbeza dan persembahan penuh emosi serta inovasi seiring identiti muzik dibawanya yang pasti meninggalkan kesan mendalam.

“Saya cukup teruja dengan sentuhan akhir jelajah Imaji Tour ini, kerana kalau tanya saya sekalipun, semua idea tersebut tinggal saja untuk diluahkan menjadi realiti.

“Jadi sekarang ini, fokus saya adalah nak keluarkan segala ilham itu yang pastinya akan membuat peminat teruja, dan saya tahu apa yang peminat saya nak dan saya harap saya boleh berikan mereka persembahan yang hebat serta visual yang menarik”, jelasnya.

Terdahulu, Album Imaji merupakan interpretasi luahan tersendiri Aina menerusi 14 lagu istimewa dalam pelbagai genre muzik.

Dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Album Imaji turut bekerjasama dengan empat penerbit tersohor seperti Mac Chew, Jenny Chin, Ezra Kong dan Affan Mazlan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini