comscore
Tumpuan :
Hiburan

Aliff dan Sophia ‘dingin’, tak bercakap di lokasi?

Aliff dan Sophia bekerja secara profesional untuk menyiapkan baki penggambaran yang belum selesai, namun tidak lagi dilihat berkomunikasi dengan mesra seperti sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Pengarah sensasi, Osman Ali tidak mengetahui situasi di lokasi penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah membabitkan dua pelakon utama, Aliff Aziz dan Sophia Albarakbah yang ‘dingin’ dan tidak lagi berkomunikasi.

Ia berikutan, sumber memaklumkan dua pelakon yang memegang watak hero dan heroin itu didapati bekerja secara profesional untuk menyiapkan baki penggambaran yang belum selesai, namun tidak lagi dilihat berkomunikasi dengan mesra seperti sebelum ini.

“Saya tiada di lokasi di Langkawi. Balik kampung sekejap. Pengarah bersama urus di sana.

“Saya tak tahu sebab berehat sekarang,” katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Ditanya mengenai sambutan drama selepas berlakunya kontroversi, Osman berkata, ia difahamkan mendapat sambutan baik daripada penonton termasuk dalam media sosial.

“Setakat ini, sambutan baik. Respon (maklum balas) dalam media sosial pun Alhamdulillah. Cuma, saya belum dapat rating dari TV3.

“Mungkin ada penonton menyokong dan ada pula sebaliknya. Masing-masing berhak untuk memilih.

“Apapun, saya yakin peminat Sophia dan Aliff tetap setia memberi sokongan dan menonton drama dengan tolak ke tepi sebarang isu,” katanya.

Terdahulu, kontroversi membabitkan Aliff dan Sophia tercetus hingga isu ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga Aliff dan isterinya, Bella Astillah yang tular dalam media sosial, sebelum drama disiarkan di slot Akasia TV3 sejak 6 Februari lalu.

Selain Aliff dan Sophia, drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah membariskan pelakon lain seperti Shah Iskandar, Jasmine Suraya Chin, Halim Radzi, Didi Astillah, Zaki Azeman dan ramai lagi. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini