NEW YORK: Seperti yang dijangka, pelantun lagu hit “Espresso” Sabrina Carpenter, memenangi Anugerah Muzik Video MTV 2024 untuk kategori Lagu Terbaik.
“Saya tidak pernah memenangi anugerah ini. Ini benar-benar istimewa,” ujar Carpenter sebaik dinobatkan sebagai pemenang.
Carpenter, 25 tahun, naik ke pentas untuk menerima ‘Moon Person’ pertamanya dan berterima kasih kepada peminat yang selalu menyokongnya.
“Saya ingin menyatakan bahawa anda (peminat) adalah sebab saya dapat melakukan apa yang saya suka. Anda benar-benar peminat terbaik dunia. Saya sayangkan anda, terima kasih,” tambahnya.
Terdahulu, Carpenter, membuat persembahan memukau dengan lagu-lagu hit “Please, Please, Please”, “Taste” dan “Espresso” bersama
makhluk asing dan angkasawan.
Tahun ini merupakan kali pertama dia dicalonkan di VMA. Selain Lagu Terbaik, Carpenter dicalonkan dalam tujuh kategori lain termasuk Artis Terbaik, Pop Terbaik, Lagu Musim Panas Terbaik, Pengarah Terbaik, Penyuntingan Terbaik dan Arah Seni Terbaik.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Carpenter sempat memberi penghargaan kepada “kucing dan anjingnya yang menonton di rumah” serta penulis bersama “Espresso” iaitu Amy Allen, Julian Bunetta dan Steph Jones.
“Saya sayangkan kalian. Saya suka membuat muzik dengan anda, dan saya tidak sabar untuk berkongsi lebih banyak lagi dengan dunia,” tambah Carpenter.
Single Short n’ Sweet “Espresso” mendominasi musim panas dan melonjakkan penyanyi itu ke tahap kemasyhuran baharu.
Lagu itu memuncak di No. 3 di Billboard Hot 100, manakala album kekal berada di atas carta Billboard Hot 200 selama dua minggu.
Tahun lalu, Carpenter mempersembahkan gabungan dua lagunya “Nonsense” dan “Feather” di pratayangan VMA 2023.
Dia terus memuncak selepas menjadi penyanyi pembuka untuk konsert jelajah ‘Eras’ rakan bintang popnya iaitu Taylor Swift.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.