NEW JERSEY: Ibu kepada mendiang Whitney Houston, Cissy Houston meninggal dunia pada usia 91 tahun di kediamannya akibat penyakit Alzheimer pada Isnin.
Pemergiannya itu disahkan ahli keluarga mendiang dalam satu kenyataan.
Dilahirkan di New Jersey pada tahun 1933, Houston merupakan anak bongsu daripada lapan adik beradik dan mula menyanyi sejak kecil apabila membentuk kumpulan gospel bersama ahli keluarganya.
Houston merupakan penyanyi Gospel terkenal sejak era 1960-an dan pernah memenangi dua Anugerah Grammy bagi kategori Album Gospel Tradisional Terbaik pada tahun 1997 dan 1999.
Beliau turut menubuhkan kumpulan The Sweet Inspirations, yang menjadi penyanyi latar kepada artis terkenal seperti Otis Redding, Dusty Springfield, dan Dionne Warwick dan Van Morrison.
Houston mula mencipta nama dalam industri muzik Amerika Syarikat apabila menjadi penyanyi latar dalam lagu hit Aretha Franklin ‘Ain’t no way’ yang dirakam pada tahun 1968.
Sepanjang hayatnya, Houston turut menulis tiga buah buku, termasuk sebuah buku memperingati anaknya, berjudul Remembering Whitney: A Mother’s Story of Life, Loss and The Night The Music Stopped.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.