Tumpuan :
Dunia Seni

Imaginur Filem Terbaik FFM 33

Pasukan Imaginur meraikan kejayaan apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik, FFM 33. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Filem cinta yang menerapkan elemen fiksyen sains, Imaginur dinobat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM 33) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini, malam ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan produksi filem terbabit, Lumatic Films Sdn Bhd menerima Dana Kandungan Kreatif bernilai RM500,000 beserta trofi.

Selain pengiktirafan tertinggi terbabit, karya arahan Nik Amir Mustapha itu turut mencipta kegemilangan dengan membawa pulang enam lagi anugerah lain.

Bintang utamanya, Beto Kusyairy, diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Nik Amir sendiri berjaya menjulang trofi Pengarah Terbaik.

Filem itu juga memenangi kategori Lagu Tema Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penyunting Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Bersaing dengan tujuh filem hebat iaitu Hungry Ghost Dinner, Abang Adik, Rain Town, Sheriff: Narko Integriti, Mechamato Movie dan Duan Nago Bogho, karya itu mengupas kisah cinta tetapi disulami elemen ‘hipnosis’ untuk menjadikan jalan cerita lebih menarik serta berbeza daripada naskhah tempatan lain.

Trofi disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang merasmikan malam kemuncak festival berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik Dan Industri Kreatif, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Seperti dijangka, lakonan hebat Susan Lankester dalam Rain Town melayakkannya dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Rabu lalu, nama Susan diumumkan sebagai Aktres Terbaik, Asian Academmy Creative Awards (AACA) 2024 di Singapura menerusi naskhah sama.

Lakonan mantap Elizabeth Tan dalam Sherif: Narko Intergriti berjaya meyakinkan juri untuk memilihnya sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, manakala Jack Tan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Abang Adik.

Menepati ramalan, pengarah filem Abang Adik, Jin Ong diangkat sebagai pemenang trofi Pengarah Harapan.

Trofi Pelakon Lelaki Harapan menjadi milik Aniq Durar hasil lakonan menerusi Pagari Bulan, manakala kategori Pelakon Wanita Harapan diungguli Trisha Ooi yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam filem Janna Endoro.

Qisya Hairulzain dipilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Magik.

Kembali dipertandingkan selepas lima tahun, kategori Dokumentari Terbaik dimenangi Pekik terbitan Stereo Pixels Sdn Bhd, manakala The Missong Trophy (Wayang Works Sdn Bhd) merangkul trofi Filem Pendek Terbaik.

FFM 33 turut mengiktiraf filem Naam Katra Isai dan Duan Nago Bogho untuk menerima Anugerah Khas Juri.

Penghormatan juga diberikan kepada penolong pengarah dan pelakon, A Galak yang menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman.

Jasa dan sumbangan jurukamera senior, Indera Che Muda dalam industri perfileman turut mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Karyawan.

Kesemua pemenang menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas membawa pulang RM10,000 dan trofi

Bertemakan EMAS – Evolusi Sinema Malaysia, FFM 33 menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding.

Ini merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.

Malam kemuncak FFM 33 dihoskan artis, Datuk AC Mizal.

Acara itu diserikan dengan persembahan barisan artis popular tanah air iaitu Dayang Nurfaizah, Aizat Amdan, Aisha Retno, Marsha Milan, Nikki Palikat, Amir Jahari, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor dan Aina Abdul.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini