KUALA LUMPUR: Ahli kumpulan K-Pop popular, 2PM iaitu Lee Jun-ho atau lebih dikenali sebagai Junho akan menemui peminat di Malaysia buat julung kali pada 18 November depan.
Majlis ramah mesra antara penyanyi, penulis lagu, penari dan pelakon berusia 33 tahun dan peminat akan berlangsung di Mega Star Arena di Sungei Wang Plaza, jam 5 petang.
Acara itu adalah sebahagian daripada siri jelajah bertemu peminat Junho The Moment 2023 di mana peminat dari lapan bandar berbeza di seluruh Asia berpeluang bertentang mata dengannya.
Sebelum itu, Junho akan berada di Taipei pada 14 Oktober; Macau (4 November) dan Manila (11 November) sebelum tiba di Malaysia.
Junho kemudiannya akan ke Jakarta (25 November), Hong Kong (2 Disember), Singapura (8 Disember) dan Bangkok (10 Disember) bagi tujuan sama.
Acara sesi bertemu peminat dianjurkan oleh JYP, Live Nation dan iMe.
Kali terakhir bintang yang menjadi idola ramai hadir ke Malaysia ketika 2PM mengadakan konsert di Stadium Negara pada 2011.
Konsert itu juga adalah sebahagian siri Jelajah Asia Hands Up kumpulan itu.
Junho juga pernah membintangi beberapa K-Drama popular termasuk Good Manager, Wok Of Love dan The Red Sleeve.