KUALA LUMPUR: Sebaik mengetahui papanya disahkan menghidap kanser limfoma, Serina Redzuawan mengakui tidak dapat menahan kesedihan dan menangis semahunya, semalam.
Itu luahan anak perempuan kepada Cef Wan 66, menerusi hantaran di laman sosial Instagram (IG).
“Semalam, hati saya ibarat kaca jatuh berkecai ke lantai bila dengar pesanan papa memberitahu ada kanser limfoma.
“Memang sedih, saya tak dapat tahan air mata dan menangis sepuasnya.
“Saya tahu ini ujian Allah untuk papa dan kami sekeluarga. Allah maha baik dan pilih papa. Sebab papa adalah insan berhati mulia, selalu bantu dan ceriakan hidup orang.
“Papa selalu bantu ahli keluarga dan adik-beradik. Syukur, Alhamdulillah,” tulisnya.
Serina 40, berkata, bapanya reda atas ujian penyakit yang diterima.
“Papa reda dan tenang terima ketentuan ini. Saya bangga dengan papa! Insya-Allah sakit tanda Allah sayang, cuci dosa dan menaikkan darjat sebagai manusia.
“Ingat papa, kami semua ada, Rina, Aidid, Tristan, Isabella, Riz, adik-beradik, sahabat dan peminat semua sayangkan papa. Kami akan doakan papa kembali sihat. Terus kuat,” katanya.
Serina berharap, orang ramai turut mendoakan kesembuhan buat bapanya dan kekuatan untuknya melawan kesakitan.