Tumpuan :
Dunia Seni

Napie Spider sempat peluk isteri, mohon maaf sebelum meninggal dunia

FOTO: NSTP

RAWANG: Isteri Allahyarham Napie Spider, 51, iaitu Nor Rasidah Said, 40, sempat memberi pelukan terakhir dan memohon maaf kepada suami sebelum gitaris itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada jam 3.54 pagi tadi.

Nor Rasidah berkata, dia dan Napie sempat bermaaf-maafan, petang semalam, sebelum arwah suami mula menunjukkan tanda kurang baik dan dikejarkan ke hospital pada sebelah malam.

Dalam detik spontan itu, Nor Rasidah memberitahu, Allahyarham Napie memberi lambaian terakhir kepadanya dan anak-anak.

“Semalam, selepas Asar, kami bermaaf-maafan dan kami berpelukan. Itu yang saya rasa lain dan manis sangat. Saya minta maaf dengan dia, dia minta maaf dengan saya.

“Kemudian, dia melambai-lambai dan ucapkan selamat tinggal kepada anak-anak. Saya tak terfikir pun dia sudah hendak pergi,” katanya ditemui selepas urusan pengebumian Allahyarham Napie di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes di sini, hari ini.

Allahyarham Napie meninggalkan Nor Rasidah dan tiga cahaya mata mereka iaitu Nurul Shahira, 19, Muhammad Azri, 14, dan Muhammad Haziq Luqman, 6.

Mengulas mengenai kejadian petang semalam, Rasidah berkongsi, suaminya pada mulanya demam sebelum menunjukkan tanda sesak nafas.

“Semalam, waktu Maghrib di rumah, suami demam dan menggigil. Kemudian, dia mula sesak nafas. Sebenarnya, suami memang ada masalah jantung tetapi pembedahannya ditunda kerana dia ada strok.

“Semalam, suami juga kena cirit birit. Jadi, saya hubungi ambulans dan dikejarkan ke HSB. Selepas itu, dia dimasukkan ke unit kecemasan.

“Selepas pemeriksaan, doktor sahkan paru-parunya dijangkiti kuman dan sudah merebak ke jantung. Punca cirit-birit pula kerana oksigen sudah tidak sampai,” katanya.

Jenazah Napie atau nama sebenar, Hanafi Hamdan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes di sini, pada jam 3.15 petang tadi.

Pengebumian Allahyarham Napie yang dihadiri ahli keluarga, rakan seni dan kenalan terdekat, lancar biarpun dalam hujan lebat.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Napie yang mula menceburi bidang muzik bersama Spider sejak 1996, diurus dan disolatkan di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, di sini.

Antara rakan artis yang hadir termasuk rakan seperjuangan yang juga vokalis Spider, Tam, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa dan ramai lagi.

Napie yang juga jurutera bunyi di Studio Luncai Emas milik M Nasir dilapor diserang angin ahmar pada 16 Julai lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini