comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Penganjur konsert Coldplay keluarkan peringatan untuk penonton 

Foto Instagram Live Nation Malaysia

KUALA LUMPUR: Penganjur Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur mengingatkan peminat untuk tidak menunggu artis di luar dan dalam lokasi konsert ataupun bermalam di kawasan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perkara itu dimaklumkan penganjur menerusi laman Instagramnya (IG), Live Nation Malaysia.

Katanya tindakan itu boleh menggugat keselamatan artis dan orang ramai.

Penganjur juga berkata sekiranya ada individu yang mencetuskan masalah pihaknya boleh bertindak dengan menahan.

“Menunggu artis di luar atau dalam lokasi (termasuk sepanjang malam) adalah dilarang sama sekali.

“Menunggu dalam, luar atau ruang awam berdekatan, mengejar atau duduk di jalan berdekatan bukan sahaja bahaya kepada artis serta orang awam, tetapi boleh menyebabkan kemalangan atau masalah yang membabitkan orang lain.

“Pihak yang terbabit mesti menyelesaikan sebarang kemalangan atau insiden yang disebabkan oleh tindakan ini.

“Artis, penganjur dan pengurus lokasi tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kemalangan atau insiden berpunca daripada perbuatan ini. Sekiranya berkelakuan jahat, individu terbabit mungkin tidak dibenarkan masuk ke tempat persembahan dan boleh diserahkan kepada polis untuk pendakwaan,” katanya.

Garis panduan itu dikongsikan di laman sosial rasmi Live Nation Malaysia bagi konsert mega yang dijadualkan berlangsung pada 22 November depan itu.

Selain itu, Live Nation Malaysia mengingatkan agar penonton dilarang melakukan perbuatan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Bagi mencipta atmosfera kenangan indah buat peminat, tolong hormati budaya masyarakat tempatan, sensitiviti di Malaysia dan elak memaparkan ‘prop’ atau barangan boleh menyebabkan ketidakselesaan pada orang lain.

“Marilah fokus pada muzik dan berkongsi keseronokan pada acara itu. Terima kasih atas kerjasama semua,” katanya.

Live Nation Malaysia turut menyenaraikan barangan dilarang dibawa masuk ke dalam stadium sepanjang konsert mega berlangsung.

Antaranya, makanan, minuman, binatang peliharaan, komputer riba, beg besar, gajet, selain barangan berbahaya seperti mercun, minuman keras, topi keledar dan pen laser.

Seramai 85,000 penonton dijangka memenuhi stadium bagi menyaksikan persembahan band berasal dari United Kingdom yang dibarisi oleh Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion, 22 November ini.

Loading...
Terkini