comscore
Tumpuan :
Hiburan

Perjalanan Seni Zamani Bakal Dibukukan

Zamani Slam bakal tampil dengan kisah biografinya

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zamani Slam memaklumkan ada pihak yang berminat menerbitkan biografi kisah hidupnya daripada awal karier sehinggalah kepada waktu pembedahan akibat penyakit skoliosis nanti.

Menurutnya, perbincangan masih di peringkat awal dan dia belum mengetahui sama ada projek ini boleh dibuat sekarang atau selepas pembedahan terbabit.

“Saya mengalu-alukan kesungguhan mereka untuk menghasilkan projek ini termasuk merakam detik-detik saya ketika mahu menjalani pembedahan.

“Namun saya sendiri tidak tahu sama ada pihak hospital boleh bagi kebenaran atau sebaliknya. Sebabnya hospital adalah kawasan persendirian.

“Cuma memandangkan dah ada pihak yang nak buat sejarah hidup saya sehinggalah untuk pembedahan, kalau ada kebenaran dari pihak hospital mungkin juga boleh dijadikan ‘footage’. Namun tak perlulah ambil banyak bahagian sangat,” katanya pada sidang media Konsert Doa Buat Zamani Unplugged di sebuah hotel di sini, semalam.

Zamani berkata, pembedahan dijangka dibuat pada November ini dan dia sedang membuat pilihan hospital yang sesuai.

“Hujung Oktober ini saya terbabit dengan satu persembahan di Istana Budaya dan selepas itu barulah pembedahan dibuat.

“Ada dua pilihan sama ada Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) atau ALTY Orthopaedic Hospital.

“Buat masa ini saya terpaksa makan ubat tahan sakit. Keadaan saya sekarang terpaksa tahan sakit selama 24 jam sakit. Dulu tak sakit setiap masa,” katanya.

Dalam pada itu, Zamani mengakui tidak pernah mengambil royalti nyanyian akibat kesilapan sendiri kerana belum daftar dengan Recording Performers Malaysia (RPM).

“Mereka ada hubungi saya juga baru-baru ini suruh jadi ahli secepat mungkin. Dari situ nanti mereka boleh mula kutip royalti.

“Sebelum ini saya tak pernah ambil royalti. Bahkan tiada seorang anggota Slam pun berbuat demikian.

“Saya difahamkan untuk lima tahun kebelakangan ini, wang yang ada akan dikategorikan sebagai wang tak dituntut dan diserahkan kepada pihak yang mengendalikannya,” katanya.

Zamani mengakui menyesali apa yang berlaku menyarankan kepada mereka yang baru bergelar artis agar menjadi ahli.

“Nampak remeh kerana kita tak nampak dan tak tahu dapat berapa, tapi buatlah sebab satu masa kalau berlaku sesuatu, ia akan tolong kita,” katanya.

Sementara itu Konsert Doa Buat Zamani anjuran Indera Entertainment akan berlangsung di Zepp KL pada 30 September jam 8.30 malam.

Konsert berkenaan turut menampilkan persembahan Datuk Ramli Sarip, Rahim Maarof, Fauziah Latif serta penampilan istimewa Datuk Aznil Nawawi. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini