comscore
Tumpuan :
Hiburan

PROFIMA Mohon Beri Cuti, Kru Mengundi

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) memohon pertimbangan penerbit dan pengurus produksi untuk memberi cuti kepada semua kru bagi membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Presiden PROFIMA, Khalil Salleh, berkata semua pekerja filem perlu melunaskan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada PRU-15 tanpa alasan atau halangan daripada majikan.

“PROFIMA memohon kepada semua penerbit dan pengurusan produksi yang sedang melakukan projek penggambaran seperti filem, drama, program televisyen (TV) dan kerja kreatif lain untuk memberi pelepasan kepada semua pekerja filem bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pelepasan berupa cuti ini dimohon antara dua hingga tiga hari bagi memberi keselesaan kepada kru filem termasuk pelakon dan pengarah yang terpaksa pulang ke kampung untuk mengundi atau melakukannya di mana-mana pusat mengundi berdaftar.

“PROFIMA berharap semua yang terbabit dapat memahami dan memberi sedikit ruang kepada hal penting ini.
“PRU hanya berlaku empat hingga lima tahun sekali sahaja,” katanya kepada BH Online.

Pada 20 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU-15.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal adalah pada 15 November ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Khalil menambah, PROFIMA bersikap terbuka dan tidak menghalang ahli untuk membabitkan diri dalam sebarang aktiviti berkaitan kempen PRU-15.

“Bagaimanapun, kami tidak benarkan nama persatuan digunakan dalam apa juga urusan termasuk kempen atau perkara lain berkaitan PRU-15.

“Ini dilakukan demi menjaga ukhuwah dan menghormati kepelbagaian fahaman setiap ahli kami,” katanya.

Khalil berkata, PROFIMA tidak condong atau berpihak kepada mana-mana parti.

“Kita serahkan segala-galanya kepada ahli atas prinsip demokrasi dan perlembagaan negara,” katanya.

Mengikut rekod dikemaskini PROFIMA sehingga Julai lalu, persatuan itu mempunyai jumlah keahlian lebih 23,000 orang.

Daripada jumlah itu, kira-kira 7,000 ahli masih bertugas di lapangan kreatif.

Awal tahun ini, PROFIMA mengumumkan melakukan perubahan besar demi memastikan kelangsungan hidup tenaga kerja di balik tabir industri filem dan video dalam menghadapi cabaran baharu pada tahun mendatang.

Misi itu dizahirkan pada Mesyuarat Agung Tahunan 2021 apabila berlaku perubahan besar dalam tampuk kepimpinan PROFIMA.

Ini sekali gus menggambarkan kebanyakan ahli mahukan perubahan dan penambahbaikan selaras perubahan budaya kerja dan situasi semasa.

Khalil yang dilantik Presiden PROFIMA pada mesyuarat itu dilaporkan berkata, seluruh saf kepimpinan baharu PROFIMA bagi sesi 2022 hingga 2024 bertekad melakukan Transformasi PROFIMA 2024 dengan meletakkan misi jelas. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini