Tumpuan :
Dunia Seni

Saya sayangkan Bella, tidak mahu dia berpisah dengan Aliff – Ruhainies

KUALA LUMPUR: ‘Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah. Saya juga bersedia untuk berbincang apabila Bella sudah bersedia.”

Demikian penjelasan pelakon Ruhainies yang akhirnya bersuara dan memberikan penjelasan berhubung dakwaan terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Aliff Aziz di sebuah kondominium mewah di ibu negara, baru-baru ini.

Ruhainies menerusi laman Instagram (IG) miliknya malam ini berkongsi situasi sebenar yang berlaku pada hari kejadian.

“Pada hari itu, saya baru selesai menjalani penggambaran dan konvoi bersama PA (Pembantu Peribadi) pulang ke rumah. Hari itu juga, adik-beradik memang merancang tidur di rumah.

“Jadi, kami rancang makan bersama adik-beradik dan beberapa rakan lain.

“Memandangkan Aliff baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput untuk turut serta kerana dia juga mengenali keluarga serta adik-beradik saya sejak 10 tahun lalu.

“Aliff bersetuju sebab sudah lama tak berjumpa dengan mereka. Risteena maklumkan kepada saya, dia dalam perjalanan ke rumah, namun, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

“Jadi, saya buat keputusan untuk naik ke rumah dan letakkan barang keperluan shooting saya,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ruhainies memberitahu, dia dan Aliff sempat berborak sementara menunggu dan tidak lama kemudian, pintu rumahnya diketuk.

“Saya ingatkan, itu kakak saya sebab dia cakap sudah nak sampai. Tapi, apabila mendengar suara lelaki, semestinya saya takut untuk membuka pintu atas faktor keselamatan.

“Kemudian, saya hubungi semula kakak supaya datang secepat mungkin dan periksa siapa di depan pintu. Apabila sampai, dia sahkan itu adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan polis.

“Dia maklumkan kepada mereka, dia memang sepatutnya sudah sampai dan berada bersama dalam rumah kerana berjanji untuk turut serta. Tapi, disebabkan kesesakan lalu lintas terpaksa ambil masa lebih lama memandangkan keesokan hari adalah hujung minggu,” tulisnya.

Tambah Ruhanies, kakaknya juga maklumkan bahawa Bella dan pihak media turut berada di depan pintu.

“Jadi, atas faktor keselamatan dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku, kakak minta saya tidak membuka pintu dahulu.

“Selepas berbincang dan ada budi bicara agar pihak berwajib sahaja yang ada di depan pintu, barulah saya buka.

“Selepas dijalankan pemeriksaan, tidak ada apa-apa berlaku. Tetapi, hanya mengikut prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, saya hanya perlu memberi keterangan sahaja.

“Selepas selesai, saya kembali ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Ruhanies mengakui kekhilafannya di sisi agama kerana berada dalam situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dielakkan.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi.

“Aliff adalah rakan dan kenalan keluarga saya termasuk adik-beradik sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Justeru, Ruhainies memohon maaf kerana membiarkan perkara ini berlarutan tanpa kenyataan dan menyebabkan beberapa pihak memanipulasikan pelbagai fakta yang tidak benar dan tidak tepat.

“Saya berharap kenyataan saya ini tidak akan dijadikan bahan provokasi kerana saya tidak ada niat ke arah itu, sebaliknya bersedia menjernihkan keadaan antara kami bertiga.

“Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tak boleh memaksa sesiapa untuk percaya.

“Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi daripada saya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Bella memfailkan perceraian daripada Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada pada 11 Mac lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini