Tumpuan :
Dunia Seni

SFMM39 buka pentas pertama

Mempertaruhkan lagu Tamil berjudul Yennode Macha, Zubir menggamatkan suasana dengan persembahan bertenaga apabila menyanyi secara rap. – FOTO: NSTP

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SHAH ALAM: Bahang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) semakin dirasai selepas pentas pertama peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 39 membuka pentasnya malam tadi.

Sebanyak 17 lagu dipersembahkan kepada peminat-peminat yang hadir membanjiri Studio Glenmarie, Shah Alam.

Pengurus Besar Kandungan Siaran TV3, Marlia Zulamran menyifatkan program selama dua jam tiga puluh minit itu berjalan dengan lancar.

Pengurus Besar Kandungan Siaran TV3, Marlia Zulamran

Malah, beliau turut memuji komitmen yang diberikan penyanyi-penyanyi demi memastikan mereka memberikan yang terbaik sebelum layak ke pentas AJL39.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Hari ini, sebanyak 17 lagu dipertandingkan.

“Pastinya kita dapat lihat semua memberikan komitmen yang terbaik dan berusaha 100%.

Selain itu katanya, beliau gembira dengan pembabitan dan kembalinya semula artis yang sudah lama tidak bertanding kembali ke pentas Muzik-Muzik kali ini.

“Esok kita akan ada lagi 13 lagu yang akan dipertandingkan. Jadi saya percaya, juri berusaha untuk memberikan markah yang terbaik selain mengadili penjurian dengan seadilnya.

“Tahun ini juri kita diketuai Edry Abdul Halim. Jadi saya pasti kesemua mereka berpengalaman luas dalam industri ini, dan kami beri kepercayaan penuh kepada mereka untuk mengadili sebaiknya.”

Antara yang membuat persembahan pada SFMM 39 pertama malam tadi; Elica Paujin (Oh Huminodun), Syamel (Belakang Tabir), Aepul Roza (ILU), Ezra Kairo & Zubir Khan (Oh My Kadhale), Akim & Majistret (Saksama), Ernie Zakri (Aura), Eira Milpan (Retak Hatiku) Tomok & Siti Nordiana (Memori Mungkin Berulang), Nabila Razali (Nangis), Zubir Khan (Yennode Macha), Masdo ft Aisyah Aziz (Pujaanku), Puteri Khareeza (Helah), Amir Masdi (Sengaja), dan Marsha (Dulu Kini & Selamanya).

Turut membuat persembahan, pemenang vokal terbaik empat kali – Hafiz Suip yang menyanyikan lagu Terus Bersinar.

Selain itu, Sharul Kamal menyanyikan lagu Angau nyanyian asal Fahmi Rahmat, manakala Vanessa Reynauld menggantikan Misha Omar dengan lagu Masihkah Ada Rasa Itu.

Kesemua lagu dinilai Edry Abdul Halim selaku ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, LY, Helen Yap dan AD Samad.

SFMM 39 turut menyaksikan Izzue Islam dan Fiza Frizzy kekal sebagai pengacara.

Separuh Akhir Muzik-Muzik 39 kedua akan berlangsung 9 malam, 15 November depan dan boleh ditonton secara langsung di saluran TV3 atau aplikasi Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini