Tumpuan :
Dunia Seni

Susan Lankaster dinobatkan kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM 33

Susan Lankaster mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik, FFM 33. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Selepas meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Asian Academmy Creative Awards (AACA) 2024 di Singapura baru-baru ini, pelakon, Susan Lankaster mengungguli kategori sama pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33.

Susan meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan hebatnya menerusi watak Aileen Choo dalam filem Rain Town arahan Tunku Mona Liza.

Pada kategori itu, Susan yang berdarah kacukan Inggeris-Cina mengatasi empat calon hebat iaitu

Nadia Aqilah yang dicalonkan menerusi filem Eva, Diana Danielle (Imaginur), Nabila Huda (Rahsia) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).

Dalam ucapannya ketika menerima trofi, Susan berterima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian dari detik berharga ini.

“Terima kasih, perjalanan saya agak jauh, saya mula berlakon menerusi filem Mekanik arahan Othman Hafsham di mana saya mulakan perjalanan sebagai pelakon.

“Kemudian saya membintangi filem Fimena arahan Aziz M Osman, saya memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan kini filem Rain Town arahan Tunku Mona memenangi Pelakon Wanita Terbaik.

“Saya sangat menghargai, terima kasih kepada semua pelakon dan kru Rain TownPerbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), barisan juri serta terima kasih kepada semua calon,” katanya.

Menerusi Rain Town, watak Aileen Choo dibawa Susan adalah seorang ibu yang harus menjadi pendamai antara anak-anak yang sudah dewasa dengan suaminya ketika perlu bertarung dengan kanser.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini