comscore
Tumpuan :
Hiburan

Tayangan filem berbahasa kantonis Rain Town di SRIFF satu pengiktirafan

Filem berbahasa kantonis, Rain Town.

KUALA LUMPUR: Filem berbahasa kantonis, Rain Town terpilih mewakili Malaysia ke Silk Road International Film Festival (SRIFF) Ke-10 yang berlangsung di Fuzhou, China bermula Sabtu lalu hingga 27 September ini.

Pengarahnya, Tunku Mona Riza menyifatkan penyertaan filem kedua terbitan Current Pictures Sdn Bhd itu sebagai satu pengiktirafan terhadap karya tempatan.

“Menjadi satu penghormatan buat seluruh tenaga produksi apabila filem ini mendapat perhatian dan berpeluang ditayangkan di festival berprestij di luar negara.

“Sudah tentu ini juga peluang untuk orang luar dapat lebih mengenali Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya secara lebih dekat menerusi penayangan filem Rain Town di SRIFF 10.

“Tambahan pula, SRIFF 10 antara festival filem berprestij di China. Saya harap filem Rain Town dapat memikat penonton di negara tersebut,” ujarnya.

Tunku Mona menambah, sebagai sebahagian daripada inisiatif China’s Silk Road Film Bridge Project, penganjuran SRIFF juga bertujuan menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama strategik antarabangsa melalui pembangunan industri audio visual China.

Tayangan perdana Rain Town di festival itu bakal mengetengahkan garapan seni kreatif Tunku Mona yang pernah memenangi banyak anugerah di festival antarabangsa dan tempatan menerusi filem Redha.

Dalam pada itu, Tunku Mona turut memaklumkan dia mempunyai aspirasi menghasilkan filem yang bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia sebagai nilai penting yang boleh ditonjolkan dalam dan luar negara.

“Saya menghasilkan filem ini kerana ingin rakyat Malaysia sedar bahawa sebagai negara berbilang kaum yang harmoni, kita ada pelbagai cerita budaya yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya harap filem Rain Town dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini.

“Ia juga diharap membuka mata dan memberi inspirasi kepada pengarah serta penerbit tempatan untuk mula mencipta filem yang menggambarkan mengenai masyarakat kita,” ujarnya.

Rain Town berkisar Choo seorang bapa yang juga ketua keluarga terus mencampuri urusan tiga anaknya yang sudah dewasa iaitu Isaac, Alex dan Ruby, sehingga mengabaikan cita-cita dan kebahagiaan mereka.

Apabila Aileen, isteri Choo, ditimpa kemalangan, hubungan keluarga semakin renggang sehingga mencampakkan mereka ke dalam konflik yang menyayat hati.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee, Pauline Tan dan dijangka akan menemui khalayak di pawagam seluruh negara bermula 8 Februari 2024.

Loading...
Terkini