comscore
Tumpuan :
Hiburan

Tidak banyak dapat kami lakukan untuk meringankan penderitaannya – Kakak Celine Dion

KUALA LUMPUR: Keluarga ratu pop dunia Celine Dion tidak akan berputus asa mengharapkan akan adanya keajaiban dalam meringankan penderitaan penghibur kesayangan ramai itu yang telah didiagnosis dengan sindrom orang kaku atau stiff person syndrome (SPS) sejak Disember tahun lalu.

Kakak kepada penyanyi berusia 55 tahun itu, Claudette memaklumkan, adiknya seorang yang sangat tabah dalam melawan penyakit dihidapinya.

“Beliau seorang wanita yang sangat kuat dan akan melakukan apa sahaja untuk pulih. Meskipun tidak banyak yang kami tahu mengenai penyakitnya, tetapi kami yakin pasti akan menemui penawarnya.

“Tidak banyak dapat kami lakukan untuk meringankan penderitaannya, namun kami sekeluarga tetap bersamanya dalam mengharungi detik sukar ini,” kata Claudette menerusi temubual bersama majalah Hello! Canada edisi September.

Sementara itu, berkongsi perkembangan terkini kesihatan penyanyi The Power Of Love itu, Claudette berkata, adiknya berterusan mengalami kekejangan otot yang sukar untuk dikawal.

“Mungkin anda pernah melihat seseorang yang sering terjaga ketika sedang tidur akibat mengalami kekejangan otot di bahagian kaki atau betis.

“Begitulah juga keadaan dialami Dion, tetapi ia berlaku pada semua bahagian anggota berotot,” ujarnya dalam nada sedih.

Pada Disember 2022, penyanyi bervokal ampuh itu memuat naik video sebak di Instagram (IG) memaklumkan baru sahaja didiagnosis dengan sindrom SPS dan tidak dapat meneruskan konsert siri jelajah Eropah dan konsert musim bunga 2023.

Menerusi perkongsian sama, penyanyi kelahiran Kanada itu memberitahu serangan SPS mengakibatkan ototnya tidak dapat dikawal sehingga mengganggu percakapan dan mengalami masalah berjalan. – AGENSI

Loading...
Terkini