Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim mengubat kerinduan peminat apabila beraksi di Majlis Malam Amal Tabung Pahlawan di Kuala Lumpur, malam tadi.
Menyifatkan ia sebagai platform bagi menyumbang kepada masyarakat, pelantun lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu mengakui berbangga apabila akhirnya dapat menghibur sambil menyalurkan bakti.
Bagi Liza, sumbangan ini merupakan impiannya sekian lama sebagai anak seni.
Lebih indah, kemunculan kali pertamanya di Malam Amal Tabung Pahlawan itu digandingkan bersama pemilik suara emas, Datuk Jamal Abdillah.
“Lebih daripada 15 tahun saya tidak berpeluang berduet bersama dia (Jamal Abdillah), bagi saya ini suatu yang saya amat nantikan.
“Saya harap sumbangan saya yang sedikit ini dapat memberikan impak kepada tujuan asal program malam amal ini,” ujarnya ketika ditemui Buletin TV3.
Penyanyi berusia 44 tahun itu menyampaikan enam buah lagu antaranya Perwira Saloma, Gelisah Mimpi dan Kehebatan Cinta.
Beliau kemudian menduetkan lagu Kehebatan Cinta bersama Datuk Jamal Abdillah.
Datuk Jamal turut mendendangkan lima buah lagu antaranya Gadis Melayu, Aku Penghibur dan Keluhan Perantau.
Majlis itu bertujuan menghormati jasa dan pengorbanan wira negara yang telah berjuang demi kedaulatan tanah air.
Ia juga sebagai salah satu saluran untuk mengumpul dana bagi menyokong program kebajikan veteran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.