comscore
Tumpuan :
Isu

Peminjam Perlu Nilai Sendiri Kemampuan Bayar Hutang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Peminjam dinasihatkan supaya menilai terlebih dulu paras nisbah pembayaran pinjaman (DSR) bagi mengukur keupayaan membayar hutang sebelum membuat keputusan untuk mengambil sebarang pinjaman baharu.

Pengarah Perancangan Kewangan Finwealth Management Sdn Bhd, Felix Neoh, berkata DSR ialah perbandingan komitmen hutang kepada pendapatan, yang memberi panduan kepada pengguna dan peminjam berapa banyak daripada pendapatan mereka yang akan digunakan untuk membayar hutang.

“Paras DSR yang sesuai untuk menjadi penampan yang baik ialah 30 peratus daripada jumlah pendapatan memandangkan ia masih memberi ruang kepada peminjam mengekang impak kenaikan kadar faedah pada masa depan,” katanya pada program ‘Ringgit & Sense’ BFM Radio, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Neoh berkata sebarang pelarasan terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras kadar pinjaman domestik, akan memberi kesan terhadap komitmen pembayaran balik pinjaman terutama bagi kadar pinjaman berasaskan kadar apungan.

Katanya, dalam persekitaran pertumbuhan ekonomi menguncup, bank pusat akan menurunkan kadar faedah untuk merangsang perbelanjaan domestik, yang mana dengan komitmen pembayaran balik hutang yang lebih rendah akan membolehkan peminjam mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa dalam persekitaran inflasi yang meningkat lebih tinggi berbanding paras yang dijangkakan bank pusat, maka kadar faedah akan dinaikkan untuk mengawal inflasi, sekali gus memberi kesan kepada komitmen pembayaran balik pinjaman bulanan peminjam terutama bagi kadar apungan.

“Contohnya, bagi purata pinjaman rumah RM300,000 dengan tempoh pinjaman 30 tahun, jika kadar faedah pada tiga peratus, komitmen pembayaran balik pinjaman bulanan adalah RM1,264.

“Namun, jika kadar faedah naik 25 mata asas, pembayaran balik pinjaman bulanan kini meningkat kepada RM1,305 berbanding RM1,264 sebelum ini.

“Jika kadar faedah naik kepada empat peratus, jumlah komitmen bulanan yang perlu dibayar meningkat kepada RM1,432 berbanding RM1,264 sebelum ini,” katanya.

Neoh seterusnya berkata, apabila OPR dinaikkan, maka pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan akan meningkat dan menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah dan sebaliknya apabila kadar OPR turun, ia juga akan turun.

Namun, dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kenaikan OPR memberi manfaat positif kepada deposit tetap, yang mana penyimpan bakal menikmati kadar faedah lebih tinggi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini