Tumpuan :
Jenayah

11 individu ditahan, daun ketum, cecair kodein dirampas

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood menunjukkan rampasan dari premis rumah kedai di Jalan Tan Yew Lai.

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: Polis menahan 11 individu yang disyaki terlibat dalam pengedaran daun ketum dan cecair kodein bernilai RM63,880.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood, suspek berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun ditahan di hadapan sebuah premis rumah kedai di Jalan Tan Yew Lai, di ibu negara yang dijadikan sebagai stor simpanan.

“1.347 kg bungkusan plastik mengandungi daun ketum dan kotak yang disyaki mengandungi 50 liter cecair kodein dirampas,” katanya.

Tambahnya, seorang suspek yang bekerja sebagai pemandu lori terlibat dalam aktiviti pengedaran daum ketum kira-kira 3 bulan lalu dan mendapat bekalan daun ketum dari seorang lelaki dari negara jiran.

Bekalan yang diambil kemudiannya dihantar ke Kuala Lumpur dengan kekerapan seminggu sekali.

Ujian saringan awal mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Mereka ditahan reman mulai 16 hingga 22 November di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasil semakan juga mendapati 6 suspek mempunyai rekod lampau kesalahan berkaitan kes dadah.

Turut dirampas, sebuah lori jenis Hino, serangkai kunci lori dan serangkai kunci mangga premis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini