comscore
Tumpuan :
Jenayah

113 individu eksploitasi buruh paksa diberkas

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Deputi Komisioner Fadil Marsus. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 113 individu disyaki terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia eksploitasi buruh paksa ditahan dalam Operasi Pintas Mega di seluruh negara pada 12 Jun lalu.

Operasi oleh Bahagian D3 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama 14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) itu turut menyelamatkan 73 mangsa pemerdagangan orang termasuk tiga orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, semua ditahan dan diselamatkan dalam 33 serbuan serentak secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Fokus operasi ini adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan (yang mudah diperdaya) dengan berpandukan National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Ada antara 113 yang ditahan terdiri daripada ahli sindiket serta individu yang terdiri daripada warga tempatan, warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China.

“Manakala mangsa yang diselamatkan adalah terdiri daripada 25 lelaki, 26 wanita dan 22 kanak-kanak warga tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Fadil berkata, JSJ sentiasa memandang serius ke atas aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang melakukan jenayah ini.

Katanya, berdasarkan rekod JSJ, kebanyakan golongan rentan diperdaya menjadi buruh paksa, pengemis, pembantu rumah, kedai makan, kedai gunting rambut dan perkilangan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Polis juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan di seluruh negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini