comscore
Tumpuan :
Jenayah

13 samseng jalanan cilik dicekup

Foto: NSTP

MANJUNG: 13 remaja bawah umur berusia antara 13 hingga 15 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) berdekatan Lekir, Sitiawan Utara dan Sitiawan, di sini awal tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata sebanyak 113 saman dikeluarkan kepada 147 individu atas pelbagai kesalahan trafik.

Beliau berkata, operasi membabitkan 23 pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama kakitangan WCE itu tertumpu pada pemeriksaan pelbagai kenderaan.

Namun sasaran utamanya adalah mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal bagi membendung kegiatan samseng jalanan.

“Antara kesalahan yang disaman adalah ubah suai nombor pendaftaran, tiada lesen memandu, ubahsuai aksesori, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, ubahsuai ekzos, brek tidak berfungsi, menunggang di bawah umur 16 tahun.

“Selain itu, sebanyak 136 motosikal telah diperiksa dan 11 motosikal disita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti itu dan operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati di jalan raya dan sentiasa mengawasi anak-anak di mana mereka berada,” katanya.

Loading...
Terkini