MIRI: Sebanyak 143 pokok ganja dan 1.7 kilogram ganja dianggarkan bernilai lebih RM3.6 juta dirampas daripada dua lelaki menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Piasau di sini, kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, rampasan dan tangkapan dibuat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.
Beliau berkata, suspek berusia 61 dan 41 tahun itu yang juga majikan dan pekerja membeli benih ganja dari luar negara secara dalam talian dan penghantaran dibuat menggunakan perkhidmatan kurier.
“Suspek menanam benih ganja di kawasan kediaman secara sulit dan dadah yang dihasilkan dijual di sekitar Miri dengan harga RM100 untuk 100 gram,” katanya pada sidang media di Pejabat Narkotik IPD Miri, hari ini.
Mancha berkata, jumlah keseluruhan ganja yang dirampas itu boleh digunakan 32,084 penagih.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau didapati positif dadah Tetra Hydro Cannabinol (THC).
Katanya, pasukan serbuan turut menyita sebuah kereta dan motosikal yang dianggarkan bernilai RM24,500.
Mancha berkata, perintah reman ke atas kedua-dua suspek diperolehi selama tujuh hari bermula 14 hingga 21 September ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam sebatan bagi kesalahan menanam dan memiliki pokok ganja.
Selain itu Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan bagi kesalahan mengedar dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.